'Saya bukan rompak duit rakyat'

Amir Hariri (kanan) ditemani Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika perbicaraan mengenai kes anjuran perhimpunan LCS di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat.
Amir Hariri (kanan) ditemani Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika perbicaraan mengenai kes anjuran perhimpunan LCS di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amir Hariri Abd Hadi menegaskan pendakwaan terhadapnya di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, tidak akan mematahkan semangat untuk terus menuntut keadilan.

Menurutnya, mesejnya jelas kerana beliau didakwa bukan kerana mencuri duit rakyat, merompak atau mengambil hak orang miskin tetapi kerana menyuarakan tentang apa yang dilaporkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai kapal tempur pesisir (LCS).

"Mesej kita jelas. Saya suarakan tentang apa yang dilaporkan PAC yang mengeluarkan laporan bahawa RM6 bilion dibelanja untuk bina LCS dan sepatut diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Kita suarakan pandangan kita. Kita mahu tindakan segera diambil kerana RM6 bilion itu duit rakyat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan mahkamah, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, hari ini (Jumaat), beliau didakwa di mahkamah dan ia tidak akan mematahkan semangatnya.

Kata Amir, dia akan terus menuntut ketelusan dan keadilan untuk memastikan wang rakyat tidak sewenang-wenangnya diseleweng untuk sebarang projek.

"Ini tidak hentikan saya dan rakan lain. Kita akan teruskan sehingga mereka yang bertanggungjawab dengan kes ini dibawa ke muka pengadilan," ujarnya.

Amir, 31 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan berhubung perhimpunan haram protes LCS, hampir dua minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Mengikut kertas pertuduhan, dia dituduh selaku penganjur perhimpunan gagal mengemukakan notis kepada polis sekurang-kurangnya lima hari sebelum perhimpunan diadakan.

Kesalahan didakwa berlaku di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman pada jam 2 petang, 14 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum bawah Seksyen 9(5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 November depan untuk sebutan semula kes.