Setiausaha Agung Muda didakwa anjur himpunan haram protes LCS

Setiausaha Agung Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amir Hariri Abd Hadi (dua dari kiri) hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur berhubung kes perhimpunan isu projek kapal tempur pesisir (LCS) pada Jumaat.
Setiausaha Agung Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amir Hariri Abd Hadi (dua dari kiri) hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur berhubung kes perhimpunan isu projek kapal tempur pesisir (LCS) pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amir Hariri Abd Hadi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan berhubung perhimpunan haram protes kapal tempur pesisir (LCS), hampir dua minggu lalu.

Amir Hariri, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali.

Mengikut kertas pertuduhan, dia dituduh selaku penganjur perhimpunan gagal mengemukakan notis kepada polis sekurang-kurangnya lima hari sebelum perhimpunan diadakan.

Kesalahan didakwa berlaku di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman pada jam 2 petang, 14 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum bawah Seksyen 9(5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Radzi Shah Ab Razak dan Fatin Hanum Abdul Hadi manakala tertuduh diwakili peguam, Beatrice Chin Yuen Xin dan Raj Surian Pillai.

Semasa prosiding, pendakwaan mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang membuat sebarang komen di media sosial berhubung kes ini.

Bagaimanapun, Beatrice memohon agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar yang rendah dengan alasan tidak bekerja dan baru menamatkan pengajian di peringkat sarjana di luar negara, selain perlu menanggung ibu bapa berusia 50-an yang telah bersara.

Artikel Berkaitan:

Raj Surian pula membantah permohonan pihak pendakwaan supaya pasport anak guamnya diserahkan kepada mahkamah.

“Amir Hariri merupakan seseorang yang dikenali ramai maka tiada risiko untuk melarikan diri,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 November depan untuk sebutan semula kes.

Pada 14 Ogos lalu, media melaporkan, satu perhimpunan dikenali sebagai #ManaKapalLCS diadakan di luar kompleks beli-belah Sogo dan disertai kira-kira 200 peserta.

Tiga hari kemudian, polis menyoal Amir Hariri dan 12 individu lain yang menyampaikan ucapan semasa perhimpunan itu berlangsung.

Ia susulan pendedahan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) laporan isu perolehan LCS kepada umum awal bulan ini.