Isu LCS: Tunggu laporan lengkap forensik audit Boustead

Mohd Redzuan (kiri) dan Exco Kedah, Datuk Halimaton Shaadiah Saad (dua kiri) menyerahkan sumbangan sempena Program Semarak Merdeka 65 sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-65 di Napoh pada Khamis.
Mohd Redzuan (kiri) dan Exco Kedah, Datuk Halimaton Shaadiah Saad (dua kiri) menyerahkan sumbangan sempena Program Semarak Merdeka 65 sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-65 di Napoh pada Khamis.
A
A
A

CHANGLUN - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (AMPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof meminta semua pihak menunggu laporan lengkap forensik audit projek kapal tempur pesisir (LCS) yang bakal dikeluarkan oleh Boustead Holdings Bhd.

Beliau yang juga Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif baharu syarikat tersebut mengesahkan belum bertemu pemimpin Bersatu yang dikaitkan dengan skandal berkenaan oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

"Saya belum tanya pemimpin Bersatu itu walaupun saya kenal beliau sebagai rakan pimpinan Bersatu, tetapi apapun saya lihat kita tunggulah apa yang kita sebut laporan lengkap forensik audit daripada Boustead. Mungkin Rafizi tahu lebih awal, jika benar kita mengiakan lagi dengan laporan lengkap itu.

"Saya tak tahu macam mana Rafizi dapat laporan, dan kalau ia betul kita sebutkanlah hari ini, siapa-siapa yang melakukan kesalahan kita ada sistem mahkamah, tidak mengenal kita pemimpin dari parti mana sekalipun, kita mesti menghadapi proses perundangan," katanya pada sidang media di Napoh, dekat sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas hadir di Program Semarak Merdeka 65 sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-65 di Pejabat EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pusat Komuniti Desa (PKD) Napoh.

Mohd Redzuan berkata, individu atau pemimpin dari parti mana pun yang dikaitkan dengan skandal tersebut perlu melalui proses keadilan di mahkamah jika perlu berbuat demikian.

"Memang kita nak dedahkan kepada umum dan kita nak ketelusan. Kita tidak mahu sembunyikan sebarang rahsia, tetapi rahsia itu ada juga yang tidak boleh didedahkan seperti kedaulatan dan keselamatan negara.

"Tetapi jika perkara itu melanggar kedaulatan dan undang-undang, kita kena dedahkan sebab rakyat nak tahu, impaknya kepada rakyat dan masa depan negara," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli tampil menunjukkan bukti menunjukkan pemilikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Abd Latiff Ahmad dan individu bernama Zainab Mohd Salleh terhadap syarikat subkontraktor dalam projek LCS.

Beliau berkata, beberapa bukti penglibatan Abd Latiff melalui Zainab, iaitu individu dipercayai isteri kepada bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu dan syarikat, Alizes Marine Limited boleh dilihat melalui Laporan Forensik Projek LCS yang dinyahwarta pada Isnin.

Katanya, menerusi laporan audit tersebut, ia secara jelas menyatakan bahawa Zainab merupakan isteri kepada Abd Latiff.

Bagaimanapun, Abd Latiff dalam kenyataannya menafikan wanita yang dikaitkan dalam siasatan LCS adalah isterinya.

Sebagai anggota kabinet beliau bersedia memberikan kerjasama penuh kepada siasatan pihak berkuasa terhadap isu tersebut.

Abd Latiff meninggalkan UMNO selepas Pilihan Raya Umum 2018 dan kemudiannya menyertai Bersatu.