Syed Saddiq janji tidak akan lengahkan kes mahkamah

Syed Saddiq ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes yang dihadapinya baru-baru ini. - Foto fail Bernama
Syed Saddiq ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes yang dihadapinya baru-baru ini. - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram berjanji tidak akan melengah-lengahkan kes mahkamah yang dihadapinya.

Malah katanya, sehingga hari ini belum ada masalah yang ditimbulkan beliau mahupun peguamnya dan turut memberi jaminan tidak akan membuat gangguan sepanjang proses mahkamah berjalan.

“Saya janji tidak akan melengah-lengahkan kes mahkamah saya. Sehingga hari ini, belum ada masalah daripada pihak saya seperti peguam jatuh sakit, saya hidap Covid-19 (harap tak akan jangkit), ada anjing gigit tangan dan sebagainya.

“Saya tidak akan minta mahkamah lapangkan tarikh pendengaran kes saya untuk buat umrah. Ya, pasport saya kini dipegang oleh mahkamah sepanjang kes.

“Kalau saya minta pasport pun, saya pastikan ia tidak bertindih dengan tarikh pendengaran.

“Ini hal yang saya boleh jaminlah, berani kerana benar. Saya nak takut apa kalau saya tidak bersalah, bukan?” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu memberitahu, ramai pimpinan UMNO cuba menepis berita membabitkan penyelewengan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dengan memetik nama beliau.

Syed Saddiq bagaimanapun menganggap tindakan itu merupakan satu cubaan untuk mengalih perhatian umum daripada kes Najib.

Artikel Berkaitan:

“Iyalah, saya anggap ini cubaan untuk memusingkan perhatian daripada berita Najib, bekas Perdana Menteri Malaysia dan bekas Presiden UMNO telah didapati bersalah dan dihukum penjara 12 tahun.

“Bukan satu mahkamah sahaja, tetapi Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan semuanya menjatuhkan hukuman yang sama kepada Najib.

“Kes saya, biar mahkamah putuskan,” tegasnya.