Apa yang boleh kita pelajari daripada kes Najib

Najib Tun Razak - Foto Bernama
Najib Tun Razak - Foto Bernama
A
A
A

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan memenjarakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selama 12 tahun dan denda RM210 juta pada Selasa, membabitkan kes penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn Bhd, mencatatkan satu sejarah baharu buat Malaysia.

Mana tidaknya, Najib merupakan bekas Perdana Menteri Malaysia yang pertama dijatuhi hukuman penjara sekali gus mendapat liputan meluas media antarabangsa.

Kita juga sedia maklum, Najib amat popular dengan skandal rasuah dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.82 bilion yang mana masih belum selesai prosidingnya di mahkamah.

Najib juga memiliki tiga lagi kes yang perlu dihadapi iaitu enam pertuduhan pecah amanah bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berjumlah RM6.6 bilion; bersubahat dengan Arul Kanda Kandasamy meminda laporan akhir audit syarikat 1MDB dan kes pengubahan wang haram sebanyak RM27 juta.

Jika diimbas kembali, kes SRC International Berhad itu telah mula berjalan sejak empat tahun lalu iaitu pendakwaan pada 4 Julai 2018.

Pelbagai cabaran dihadapi Najib untuk membebaskan dirinya daripada pertuduhan itu sehingga berlaku pengguguran peguam dan sebagainya.

Bagaimanapun, kuasa mahkamah bukan dalam tangan Najib mahupun kumpulan peguamnya.

Turutan kes dihadapi oleh Najib juga mencetuskan perspektif baharu kepada usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa iaitu 'jerung' yang membaham wang haram secara bebas tidak akan terlepas dengan hukuman mahkamah kelak.

Artikel Berkaitan:

Mana tidaknya, terbukti mahkamah di Malaysia sudah menampakkan kuasanya dan tidak mudah untuk dibolosi oleh pihak yang ingin cuba mencampuri urusan perundangan negara.

Keputusan menjatuhkan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri itu memang amat perit untuk ditelan oleh sesetengah pihak khasnya ahli keluarga Najib, namun itu adalah pengajaran kepada semua orang termasuk para pemimpin agar lebih telus dalam setiap tindakan.

Tidak mustahil sorotan kesudahan kes SRC International Berhad itu mencetuskan rasa gelisah dalam kalangan 'jerung-jerung' rasuah untuk lebih berhati-hati dan berhenti daripada melakukan jenayah tersebut.

Iktibar daripada kisah Najib, janganlah dengan begitu mudah gelap mata apabila dihidangkan habuan demi kepentingan sendiri sekali gus memerangkap si bilis untuk dijadikan kambing hitam anda!