Cari jalan selesai konflik politik demi penyatuan ummah

Ahmad Samsuri (tiga dari kanan) berbual bersama penerima sempena majlis penyampaian wang pendahuluan diri dan bantuan persediaan penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Luar Negara Tahun 2022 Yayasan Terengganu di Wisma Darul Iman, pada Rabu.
Ahmad Samsuri (tiga dari kanan) berbual bersama penerima sempena majlis penyampaian wang pendahuluan diri dan bantuan persediaan penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Luar Negara Tahun 2022 Yayasan Terengganu di Wisma Darul Iman, pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kepimpinan parti Melayu Islam perlu mencari jalan menyelesaikan konflik yang berlaku demi menyatupadukan ummah sekali gus membawa kepada pembentukan sebuah negara yang stabil.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kesepakatan itu diyakini mampu dicapai dengan adanya kepercayaan antara satu sama lain.

"Pepatah Melayu ada menyebut hendak seribu saya, tak nak seribu dalih. Kalau nak, kita akan cuba sedaya upaya cari jalan untuk capai objektif penyatuan ini.

"Kalau tak nak, satu dalih pun sudah cukup untuk menguburkan apa yang kita cita-citakan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan wang pendahuluan diri dan bantuan persediaan penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Luar Negara Tahun 2022 Yayasan Terengganu di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan sesetengah pihak bahawa keputusan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan gambaran bahawa konflik berlaku antara Pas dan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) akan beransur pulih.

Ahmad Samsuri bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai kenyataan itu, beliau sebaliknya menegaskan Pas masih terbuka untuk menjalinkan kerjasama demi penyatuan ummah.

Katanya, terpulang kepada seluruh kepimpinan parti untuk mengambil inisiatif bagi memastikan hasrat itu mampu dicapai.

"Barisan kepimpinan parti perlu berlapang dada, duduk dan berbicara. Kenyataan yang tidak membina perlu dikurangkan. Kalau bicara yang hanya fokus pada perbezaan pandangan, setahun 'duduk' pun tidak selesai kerana masing-masing mahu pertahankan perbezaan pendapat masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi, kalau duduk bincang objektif persamaan agenda besar, insya-ALLAH, kita mampu cari jalan capai apa yang kita mahukan," katanya.