KPM mohon PBT percepat proses teknikal pembinaan sekolah

Nur Ikram menyerahkan replika kunci bangunan baharu kepada Mohd Zaidi sambil diperhatikan Mohamad (tiga dari kanan) pada Rabu.
Nur Ikram menyerahkan replika kunci bangunan baharu kepada Mohd Zaidi sambil diperhatikan Mohamad (tiga dari kanan) pada Rabu.
A
A
A

PORT DICKSON - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meminta kerjasama semua kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) agar dapat mempercepatkan dan memudahkan proses teknikal pembinaan sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan 2, Datuk Mohamad Alamin berkata, ia penting bagi memastikan projek pembinaan sekolah dapat berjalan lancar sekaligus memberi manfaat kepada pendidik dan pelajar.

"Saya bagi pihak kementerian mengucapkan terima kasih kepada semua kerajaan negeri yang selama ini membantu kita dalam pelaksanaan semua projek.

"Cuma kita minta mana-mana urusan teknikal lebih dipermudahkan supaya kita dapat memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kunci Bangunan Baharu Sekolah Menengah Agama (SMA) Chuah di sini pada Rabu.

Penyerahan replika kunci disempurnakan oleh wakil Setiausaha Bahagian Pembangunan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Penolong Setiausaha Kanan, Nur Ikram Aziz kepada Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidi Ramli.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kimanis berkata, ada pembinaan sekolah terutama di kawasan Sabah dan Sarawak berdepan dengan isu tanah tetapi dengan bantuan kerajaan negeri ia dapat diselesaikan dengan segera.

Menurutnya, bagaimanapun dalam rekod kementerian tidak banyak kes seumpama itu berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Oleh sebab itu, kerjasama erat antara kerajaan pusat dan negeri itu penting demi menjamin pelaksanaan sesuatu projek itu berjalan lancar.

"Isu sebegini tidak banyak, tapi jika ada, saya minta Jabatan Pendidikan Negeri bantu untuk berbincang dengan kerajaan negeri supaya ia boleh dipermudahkan," katanya.

Sementara itu berkenaan SMA Chuah, beliau berkata, Sijil Perakuan Siap Kerja(CPC) bangunan berkenaan telah dikeluarkan pada 12 Ogos lalu dan kesemua pelajar secara rasminya akan belajar di bangunan sekolah baharu pada 12 September ini.

Mohamad juga berharap isu kelewatan kelulusan CPC seumpama itu tidak berulang lagi.

"Kementerian berharap, dengan adanya bangunan baharu ini dapat meningkatkan semangat guru-guru dan pelajar untuk meningkatkan pencapaian akademik

"Walaupun banyak perubahan dalam sistem pendidikan kita sekarang dengan penghapusan dua peperiksaan, namun ia bukan alasan untuk memastikan pencapaian akademik diutamakan," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bangunan baharu SMA Chuah masih tidak boleh digunakan kerana CPC bangunan berkenaan belum dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pendidikan.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, isu melibatkan bangunan baharu SMA Chuah tersebut memang menjadi perhatian dan tindakan Jabatan Pendidikan Negeri, Negeri Sembilan sentiasa merujuk kepada Kementerian Pendidikan bagi mendapatkan maklumat terkini.