100 berpiket sebab gagal pindah bangunan sekolah baharu

Seramai 100 orang terdiri daripada ibu bapa, penduduk dan alumni SMA Chuah berpiket secara aman bagi mendesak pihak berwajib membantu agar para pelajar dapat berpindah ke bangunan sekolah baharu secepat mungkin. (Sarimah)
Seramai 100 orang terdiri daripada ibu bapa, penduduk dan alumni SMA Chuah berpiket secara aman bagi mendesak pihak berwajib membantu agar para pelajar dapat berpindah ke bangunan sekolah baharu secepat mungkin. (Sarimah)
A
A
A

PORT DICKSON - "Bila nak pindah?". Itu persoalan yang bermain di fikiran ibu bapa bagi pelajar-pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Chuah di sini selepas sekian lama mereka terpaksa mengikuti pembelajaran di bangunan yang serba kekurangan termasuk kelas diperbuat daripada kabin.

Meskipun bangunan baharu telah pun siap dibina dua tahun lalu, namun sekolah itu masih menumpang di kawasan Masjid Kariah Kampung Chuah.

Keadaan itu bukan saja membuatkan ibu bapa tertanya-tanya, malah begitu juga penduduk dan alumni sekolah berkenaan.

Berikutan itu, seramai 100 individu mengadakan piket secara aman di luar bangunan baharu berkenaan pada Sabtu bagi mendesak pihak berwajib mengambil tindakan lanjut.

Wakil mereka yang juga merupakan bekas pelajar sekolah itu, Rahim Yaacob, 54, berkata, perhimpunan itu bukan bertujuan atas kepentingan diri tetapi atas dasar keprihatinan sebagai keluarga pelajar dan bekas pelajar.

"Kita tidak boleh berterusan membiarkan guru-guru dan pelajar-pelajar berada di dalam bangunan yang daif dan usang sedangkan bangunan baharu dah siap lama.

"Kami hanya minta hak mendapatkan keselesaan dan keselamatan dalam pembelajaran anak-anak kami," katanya pada sidang akhbar di sini pada Sabtu.

Menurutnya, apa sahaja permasalahan yang timbul perlu diselesaikan segera dan bukannya memberi alasan sama yang tidak pasti berulang kali.

Jelasnya, sudah terlalu lama para pelajar sekolah itu terpaksa menumpang di dalam kawasan Masjid Kariah Kampung Chuah yang sempit dan tidak selesa.

Bangunan baharu SMA Chuah yang siap dibina dua tahun lalu.
Bangunan baharu SMA Chuah yang siap dibina dua tahun lalu.

"Dulu nak dapatkan bangunan baharu ini pun bukannya senang dan sekarang bila dah siap, tak boleh masuk pula.

"Janganlah bagi alasan dokumentasi lagi pada kami," katanya.

Sementara itu ibu pelajar sekolah itu, Sarimah Shamsudin, 45, berkata, mereka bukannya mahu memperbesarkan isu terbabit tetapi sudah buntu mencari jalan penyelesaian.

Ujarnya, hari demi hari mereka menantikan jawapan yang pasti daripada pihak berwajib namun malangnya ia seperti tiada penghujung.

"Pada tahun 2017 pun kita buat piket untuk segerakan pembinaan bangunan baharu. Bila bangunan dah siap, macam ini pula.

"Kasihan pada pelajar-pelajar dan guru-guru. Paling sengsara kalau elektrik tiada kerana kelas di dalam kabin keadaannya panas," katanya.

Sehubungan itu dia sangat berharap pihak berwajib dapat bertindak segera bagi memastikan para pelajar dapat belajar dalam suasana lebih selesa.

Untuk rekod, SMA Chuah pada asalnya dikenali sebagai Sekolah Ugama Menengah Rendah Chuah dan telah memulakan pengajaran dan pembelajaran pada tahun 1959 di dalam kawasan Masjid Kampung Chuah.

Pada tahun 1977, bangunan baharu telah pun dibina dan 20 tahun kemudian bangunan sambungan didirikan dan berikutan penambahan bilangan pelajar sehingga kini, empat buah kabin telah digunakan sebagai bilik darjah.

Kemudian, sekolah terbabit telah didaftarkan sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan pada tahun 2018 majlis pecah tanah pembinaan bangunan baharu sekolah berkenaan telah dimulakan.