Kes SRC: Tiada sesiapa terlepas dari undang-undang

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan mahkamah mengekalkan hukuman dan sabitan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd membuktikan kepada negara bahawa tiada sesiapa yang boleh terlepas daripada undang-undang

Menurut kenyataan Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (Pusat C4), melalui hal ini pihak mahkamah telah membuktikan bahawa beban yang digalas oleh mereka yang berusaha membongkarkan hal tersebut telah membuahkan hasil.

“Selama bertahun-tahun, Pusat C4 bersama dengan rakan kongsi organisasi serta orang awam menghadapi pelbagai cabaran bagi menegakkan kebenaran dalam kes ini,” kata kenyataan itu pada Rabu.

Tambah kenyataan itu, kes tersebut hanyalah permulaan kepada banyak lagi skandal melibatkan bekas Presiden UMNO itu.

“Masih ada banyak lagi persoalan yang belum terjawab seperti penglibatan Najib dalam skandal pembelian Scorpene, pembunuhan Altantuya dan juga skandal kapal tempur pesisir (LCS) baru-baru ini yang melibatkan penggelapan wang berbilion-bilion ringgit,” kata kenyataan itu.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa lalu dilaporkan telah menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta kepada Najib berhubung kesalahan penyelewengan dana RM42 juta terhadap Syarikat SRC International Sdn Bhd.

Proses penghakiman tersebut dijalankan oleh lima hakim dengan dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu, hukuman yang dikenakan kepada Najib telah mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman serta meniup semangat baharu untuk membangunkan negara dengan lebih baik.

Artikel Berkaitan:

“Sepanjang kes ini, rakyat dapat melihat aksi mengejutkan yang jelas bertujuan untuk menyerang integriti badan kehakiman kebangsaan, melalui pelbagai dakwaan yang dilemparkan ke atas hakim-hakim yang bersidang bahawa keputusan yang diberikan adalah berat sebelah, sehingga pasukan peguam Najib sendiri membuat permohonan supaya Tengku Maimun, menarik diri pada sesi prosiding yang terakhir.

“Cubaan mereka untuk menjejaskan sistem perundangan negara terbukti hanyalah sekadar wayang bagi menangguh hukuman yang tidak dapat dielakkan,” kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, kejayaan proses penghakiman ini merupakan juga hasil usaha bersama masyarakat dalam membongkarnya.

“Keputusan bersalah bekas Perdana Menteri merupakan hasil keringat pemberi maklumat, pekerja media, penyiasat, organisasi masyarakat sivil, pegawai kerajaan dan orang awam yang tampil untuk mendedahkan jenayah yang dijalankan kepada orang ramai,” tambah kenyataan itu.