UMNO Johor harap Najib Razak tabah, teruskan berjuang

Mohamed Khaled mempengerusikan Mesyuarat UMNO Johor, di Bangunan UMNO Johor, pada Sabtu.
Mohamed Khaled mempengerusikan Mesyuarat UMNO Johor, di Bangunan UMNO Johor, pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - UMNO Johor bersimpati terhadap nasib mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang gagal untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO Johor berharap bekas Presiden UMNO itu tidak berputus asa dan terus berjuang.

"Kita mendoakan supaya Datuk Seri Najib Razak supaya terus tabah terhadap keputusan mahkamah semalam (Jumaat).

"Kita juga berharap beliau terus berjuang dan tidak berputus asa, mudah-mudahan dalam usaha berterusannya itu, mungkin beliau akhirnya akan berjaya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat UMNO Johor, di Bangunan Perhubungan UMNO, di sini, pada Sabtu.

Pada Jumaat, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-1 dilaporkan menolak permohonan Najib menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Keputusan majoriti itu dibacakan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima hakim itu membuat keputusan bertentangan.

Anggota panel lain ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Najib, 69, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di penjara Kajang, memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lalu.