Permohonan Najib ditolak: Itu keputusan mahkamah - Zahid

Ahmad Zahid (kanan) hadir ke Majlis Santunan Kasih Ramadan Negeri Perak Tahun 2023 di Sekolah Izzudin Shah, pada Jumaat.
Ahmad Zahid (kanan) hadir ke Majlis Santunan Kasih Ramadan Negeri Perak Tahun 2023 di Sekolah Izzudin Shah, pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd perlu dihormati.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan majoriti 4-1 yang dibacakan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat itu adalah ketetapan yang dibuat panel hakim di mahkamah.

"Itu keputusan mahkamah," katanya ringkas ketika ditemui pemberita dalam Majlis Santunan Kasih Ramadan Negeri Perak Tahun 2023 di Sekolah Izzudin Shah, di sini pada Jumaat.

Timbalan Perdana Menteri itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Mahkamah Persekutuan pada Jumaat menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Susulan itu, keputusan yang dibuat 23 Ogos tahun lalu oleh panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengekalkan sabitan bersalah, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri itu, adalah kekal.

Najib, 69, kekal di Penjara Kajang dan pilihan terakhirnya untuk dibebaskan ialah menerusi pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau dilaporkan sudah memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan tersebut pada 2 September 2022.