Kes SRC: Tubuh RCI siasat Tengku Maimun, hakim

Mohd Fakhrul Akhmal (dua dari kiri) menunjukkan laporan polis dibuat di IPD Pekan pada Selasa.
Mohd Fakhrul Akhmal (dua dari kiri) menunjukkan laporan polis dibuat di IPD Pekan pada Selasa.
A
A
A

PEKAN - Kerajaan diminta supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat hakim-hakim yang terlibat dalam kes SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Pemuda UMNO Pekan, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed berkata, penubuhan RCI itu penting bagi membolehkan Najib diberi keadilan yang lebih telus.

Beliau turut meminta agar kerajaan menilai semula perjalanan kes SRC International di Mahkamah Persekutuan.

“Penubuhan RCI bagi menyiasat Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan hakim-hakim yang terbabit berdasarkan satu hantaran berkaitan dokumen laporan siasatan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) yang telah mengesyorkan tindakan diambil kepada Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (Hakim Mahkamah Rayuan) kerana melanggar Kod Etika Hakim 2009.

“Ia juga berdasarkan kenyataan Pengerusi dan Hakim Kanan Mahkamah Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebki yang mengetuai panel hakim dalam semakan kehakiman kes terbabit di Mahkamah Persekutuan yang menyatakan tertuduh tidak mendapat pengadilan dan penghakiman yang telus sekali gus kes ini sewajarnya digugurkan,” katanya.

Mohd Fakhrul Akhmal
Mohd Fakhrul Akhmal

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan pada Selasa.

Hadir sama, 12 ahli jawatankuasa pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Pekan.

Mengulas lanjut laporan dibuat, Mohd Fakhrul Akhmal berkata, ia bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut peruntukan perlembagaan dan undang-undang sedia ada sekali gus dapat melindungi integriti sistem kehakiman negara daripada tercemar.

“Saya mahu kerajaan memandang serius perkara ini dan berharap agar RCI dapat ditubuhkan bagi menyiasat Ketua Hakim dan hakim yang terlibat dalam kes terbabit.

“Secara dasarnya kita akur dengan keputusan mahkamah tapi kita terkilan perkara-perkara sedemikian dan merasakan ia perlu dinilai semula untuk memastikan keadilan kepada Najib dapat ditegakkan,” katanya.

Pada 31 Mac lalu, Najib tidak dibenarkan untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan, hukuman dan denda terhadapnya berhubung kes menyeleweng dana SRC.

Berbekalkan majoriti 4-1, empat panel hakim menyokong untuk menolak rayuan Najib kerana tidak bermerit.

Mereka ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan termasuk Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Sementara pengerusi panel hakim, Abdul Rahman Sebli menentang keputusan tersebut kerana berpandangan sebaliknya.

Dilaporkan, Najib sudah memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan pada 2 September 2022.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati Najib bersalah di atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib.