Palang keselamatan dicabut, penduduk bimbang jenayah berulang

Palang keselamatan yang dicabut MPS.
Palang keselamatan yang dicabut MPS.
A
A
A

SELAYANG - Penduduk luah kebimbangan kemungkinan jenayah kembali berleluasa selepas palang keselamatan di Taman Perwira 1 dan Taman Setia, di sini dicabut Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jumaat lepas.

Seorang penduduk, Datin Zawiyah Semin berkata, rumah penduduk sering dipecah masuk perompak sebelum palang keselamatan diwujudkan oleh Badan Kebajikan Perwira Setia Indah (BKPSI) pada 2008.

Beliau sendiri hampir menjadi mangsa rompak sebelum aspek keselamatan di perumahan tersebut di tambah baik melalui palang keselamatan sebelum disediakan khidmat pengawal keselamatan.

"Pernah terjadi pada saya, penyamun cuba buka pintu kereta semasa saya pulang dari pasar. Dia masuk rumah pada siang hari ketika pintu pagar belum sempat ditutup.

"Sebelum palang keselamatan dipasang, ragut dan samun hampir setiap hari ada, tetapi selepas ada kawalan jenayah dah tak ada, kami warga emas di sini rasa selamat,” katanya.

Pada Jumaat, MPS telah mencabut palang keselamatan tersebut kerana tidak mendapat kelulusan MPS serta belum mendapat ‘lampu hijau’ dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Selain palang dicabut dan disita, BKPSI turut dikompaun RM1,500 selepas semua palang di tiga lokasi pos keselamatan dicabut.

Sementara itu, Ketua Pengawal Keselamatan BKPSI, Zamri Abd Rahman berkata, motosikal serta kenderaan luar semakin berani memasuki taman perumahan itu sejak palang keselamatan dicabut MPS.

Artikel Berkaitan:

Zamri Abd Rahman menunjukkan tiga kompaun RM1,500 yang dikeluarkan MPS.
Zamri Abd Rahman menunjukkan tiga kompaun RM1,500 yang dikeluarkan MPS.

Katanya, situasi itu menyukarkan pihaknya untuk mengawal kemasukan kenderaan luar dan membuka peluang jenayah kembali meningkat

“Jalan di taman ini memang menjadi akses keluar masuk penduduk dari taman-taman berdekatan tapi kita tidak pernah menghalang mereka melalui jalan di taman ini.

"Malah, kami akan membuka palang pada setiap pagi dan petang ketika ibu bapa hadir untuk menghantar dan mengambil anak mereka dari Sekolah Kebangsaan Taman Setia yang terletak di dalam taman," katanya.

Katanya, palang keselamatan itu memudahkan mereka mengawal kenderaan dengan mencatat nama dan alamat mereka yang keluar masuk melalui jalan tersebut.

“Tapi kini, kami agak bimbang jenayah akan kembali berleluasa selepas kemasukan bukan penduduk taman menjadi lebih mudah dan tidak dapat dikawal sepanjang masa,” katanya.