MPS tidak terima permohonan program PN di Selayang

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan Pas Selayang mendakwa terdapat cubaan menggagalkan program tersebut apabila menerima ancaman provokasi daripada pihak tertentu bagi menghalang ceramah berkenaan diteruskan.

A
A
A

SELAYANG - [DIKEMAS KINI] Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menafikan telah memberi kebenaran kepada Perikatan Nasional (PN) untuk mengadakan program siri Jelajah Selangor Baharu Kita Bangkit anjuran PN yang diadakan di Taman Selayang Mutiara, Selasa lalu.

MPS dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak bagi penganjuran program itu.

Menurut kenyataan itu, mengikut Seksyen 46(1)(a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), penganjur perlu mendapatkan permit kebenaran Jabatan Bangunan MPS bagi sebarang aktiviti yang melibatkan pemasangan struktur khemah sementara.

"Penganjur juga perlu memohon permit dari Jabatan Pelesenan MPS untuk penganjuran melibatkan perniagaan seperti karnival dan pesta.

"Selain itu permit kebenaran juga perlu diperolehi untuk pemasangan gegantung, bendera atau banner di kawasan pentadbiran MPS.

"Kegagalan mematuhi syarat-syarat tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan akta seperti di atas," menurut kenyatan pada Rabu.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan Pas Selayang mendakwa terdapat cubaan menggagalkan program tersebut apabila menerima ancaman provokasi daripada pihak tertentu bagi menghalang ceramah berkenaan diteruskan.

Zaidy mendakwa terdapat orang politik yang berjawatan dan berkepentingan tidak puas hati dengan penganjuran ceramah itu diadakan dan cuba menggagalkan program tersebut dengan pelbagai kaedah serta cara.

Kebanjiran penyokong PN pada Jelajah Selangor Baharu Kita Bangkit yang diadakan pada Selasa.
Kebanjiran penyokong PN pada Jelajah Selangor Baharu Kita Bangkit yang diadakan pada Selasa.

Bagaimanapun, program menghimpunkan Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta bekas ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berjalan mengikut jadual ditetapkan.

Dalam pada itu MPS memaklumkan mengeluarkan notis kesalahan di bawah Seksyen 46(1)(a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana mendirikan 12 unit khemah tanpa kebenaran dan juga tindakan sitaan ke atas semua gegantung dan bendera di kawasan tersebut pada Rabu.

"Penganjur diberi tempoh selama sehari untuk membuka khemah tersebut atau berdepan tindakan kompaun.

"MPS mempunyai kuasa mengambil tindakan di bawah peruntukan dinyatakan.

"Bagaimanapun, untuk sebarang perhimpunan awam, ceramah agama dan seumpamanya permit dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu diperolehi oleh pihak penganjur sebelum kelulusan permit dikeluarkan oleh pihak MPS," katanya.