Kontraktor lantikan MPS ikrar bebas rasuah

Azwan mengetuai IBR bersama kontraktor lantikan MPS apda Selasa.
Azwan mengetuai IBR bersama kontraktor lantikan MPS apda Selasa.
A
A
A

GOMBAK - Kontraktor lantikan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memberikan komitmen membanteras rasuah serta salah guna kuasa menerusi Ikrar Bebas Rasuah (IBR) pada Selasa.

MPS dalam satu kenyataan berkata, majlis tersebut berserta taklimat dan dialog anti rasuah dalam perolehan kerajaan telah diadakan di Dewan Beringin, Taman Seri Gombak bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Menurut MPS, seramai 150 wakil kontraktor lantikan MPS telah menghadiri program yang julung kali diadakan itu.

"Taklimat bertajuk Perangi Rasuah, Tanggungjawab Bersama telah disampaikan Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Negeri Selangor, Ridzuan Abd Malek yang menyentuh isu rasuah dan pendedahan tentang kesalahan-kesalahan yang mungkin berlaku dalam pengendalian proses perolehan serta implikasinya.

Wakil kontraktor lantikan MPS hadir pada sesi taklimat dan IBR yang berlangsung di Dewan Beringin pada Selasa.
Wakil kontraktor lantikan MPS hadir pada sesi taklimat dan IBR yang berlangsung di Dewan Beringin pada Selasa.

"Di akhir program, sesi lafaz IBR telah diketuai Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Daerah Gombak, Lt Kol (B) Azwan Maat," katanya pada Selasa.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata, sesi tandatangan IBR telah disaksikan Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim dan Yang Dipertua MPS, Datuk Mohd Yazid Sairi.

Dalam pada itu, Mohd Yazid berkata, penglibatan peserta (kontraktor lantikan) menunjukkan komitmen mereka dalam menjaga nilai-nilai ketelusan dalam setiap urusan kerajaan yang dilaksanakan.

"Ini memperlihatkan kesungguhan dalam usaha mencegah segala bentuk jenayah rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan kontraktor lantikan MPS.

"MPS berharap program seperti ini dapat memberikan kesedaran kepada peserta selain menyampaikan maklumat anti rasuah secara berterusan," ujarnya.