PRU15: PN, MN perlu sepakat satu lawan satu hadapi PH

Mohd Azam Abd Samat
Mohd Azam Abd Samat
A
A
A

ALOR SETAR - Semua parti komponen dalam PN mahupun MN dan parti-parti kerjasama lain perlu berada di bawah satu kesepakatan dengan strategi satu lawan satu menghadapi PH untuk menjamin kemenangan pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan Pas Kedah, Mohd Azam Abd Samat berkata, tindakan satu lawan satu berhadapan dengan PH juga merupakan langkah yang bersifat kalkulatif bagi menyimpulmatikan peluang pakatan pembangkang untuk kembali berkuasa.

Menurutnya, berdasarkan keputusan PRU14, gabungan undi BN dan Pas dengan sendiri boleh menyebabkan PH kehilangan sekurang-kurangnya 29 kerusi Parlimen pada PRU akan datang.

"Ini termasuklah Parlimen Pokok Sena, Kuala Kedah, Merbok, Sungai Petani, Padang Serai dan Kulim-Bandar Baharu yang berada dalam negeri Kedah.

"Pas Kedah memberikan sokongan penuh terhadap strategi satu lawan satu bagi menghadapi PRU15 sebagaimana yang dilontarkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. Ini suatu rahsia terbuka bagaimana kejayaan yang bakal diperolehi dalam PRU akan datang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelas Mohd Azam, semua pihak perlu mempunyai tekad politik yang tinggi untuk keluar daripada garisan perpecahan dan sewajarnya dasar yang digubal pada era pemerintahan 22 bulan PH menjadi iktibar dan pengajaran besar supaya 'pisang tidak berbuah dua kali'.

Dakwanya, satu demi satu tali yang mengikat peraturan agama dirungkai oleh kerajaan PH malah konsep Rahmatan Lil' Alamin dilencongkan dengan pandang sisi liberal sehingga soal maksiat individu dibingkaikan dengan 'private sphere'.

"Begitu juga sokongan terhadap ICERD, Statute Rome adalah sebahagian daripada sisi gelap era pemerintahan PH tempoh hari yang perlu terus diingati," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, Pas Kedah ingin menegaskan bahawa semua pihak perlu berpandangan jauh dan suara-suara sumbang yang cuba meminggirkan gagasan penyatuan ummah ini jelas mempunyai kepentingan individu.

"Ia tidak wajar menjadi penghalang demi agenda negara yang lebih besar dan utama. Rakyat Malaysia dari semua bangsa dan etnik perlu terus bersatu menolak kerakusan politik dan jajaran baru PH," kata Mohd Azam.