PRN: Parti komponen BN bincang agihan kerusi malam ini

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Satu perbincangan melibatkan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) akan berlangsung pada malam ini bagi membincangkan agihan kerusi-kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pertemuan yang diadakan di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) itu bertujuan bagi mendengar pandangan daripada semua parti komponen berhubung kerusi-kerusi yang boleh dipertimbangkan untuk mereka dalam PRN di enam negeri itu.

"Namun kita berpandangan realiti politik baharu, kita harus lihat kebersamaan parti-parti yang berada di dalam kerajaan Madani ini.

"Sebahagian besar parti-parti itu adalah parti semenanjung, maka kebersamaan, kesefahaman dan juga keserasian parti-parti itu amat penting.

"Maka kita akan berhimpun pada 14 Mei nanti dan kita akan melihat kenyataan parti-parti gabungan dalam kerajaan Madani ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-77 di Surau Ar Rahman, Menara Dato Onn, WTCKL pada Khamis.

Pada Ahad, wakil Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan memutuskan beberapa perkara melibatkan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri dalam masa yang terdekat, kata Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, antara perkara yang akan diputuskan itu melibatkan pembahagian kerusi, calon dan strategi bagi kempen PRN tersebut.