'Arwah baik, tapi diperlakukan dengan kejam'

Adik mangsa, Normawati Jaafar menunjukkan keadaan mangsa ketika ditempatkan di hospital baru-baru ini.
Adik mangsa, Normawati Jaafar menunjukkan keadaan mangsa ketika ditempatkan di hospital baru-baru ini.
A
A
A

PARIT - Ahli keluarga dan penduduk kampung menyifatkan Norzi Jaafar, 58, yang ditemui mati dengan kesan libasan di leher dipercayai dibunuh pada Isnin, seorang yang ringan tulang dan disenangi ramai.

Allahyarham yang masih bujang dan tinggal sendirian selepas kematian ibunya, sejak lebih 10 tahun lalu sering turun membantu kenduri kampung dan menggali kubur setiap kali ada kematian penduduk.

Anak saudara mangsa, Shazlinda Muhd Khalil, 26, berkata, meskipun tinggal sendirian, bapa saudara yang disapa Ayah Ngah itu tidak pernah menyusahkan orang lain.

Menurutnya, arwah masih mampu bekerja dengan mengambil upah melakukan kerja-kerja kampung seperti memotong rumput, memancing ikan dan mengecat rumah untuk menyara hidup.

"Ayah Ngah baik sangat, saya terkejut apabila dimaklumkan yang dia sudah tiada, lebih terkilan apabila dia diperlakukan dengan sangat kejam begitu," katanya ketika ditemui pada Isnin.

Norzi Jaafar
Norzi Jaafar

Kejadian di Kampung Merua Batu 3, Jalan Haji Wahab itu disedari seorang penduduk kampung sekitar jam 10.30 pagi selepas melihat mangsa tidak sedarkan diri di luar pintu rumah dengan darah di sekeliling badan dan pintu serta lampu terbuka.

Pemeriksaan mendapati, terdapat kesan kecederaan di leher mangsa dipercayai kesan libasan senjata tajam.

Artikel Berkaitan:

Shazlinda berkata, bapa saudaranya itu telah dimasukkan ke hospital bulan lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan seminggu dijaga oleh keluarganya di Layang-layang Kanan.

Katanya, sekitar dua minggu ini, mangsa mahu tinggal dan tidur di rumahnya sendiri untuk menjaga kucing peliharaan yang melahirkan anak.

"Ayah Ngah tak pernah cerita kalau-kalau dia ada masalah atau pernah diganggu sebelum ini.

"Walaupun dia bukan orang senang, tetapi dia baik dan orang kampung pun cakap begitu," katanya.

Sementara itu, sepupu mangsa mahu dikenali Hisham, 53, berkata, pada mulanya dia menyangka mangsa hanya pengsan akibat penyakit dihidapi.

"Bila saya datang dekat, saya nampak ada kesan luka di leher dan mula sedar warna hitam di sekelilingnya itu adalah darah, Norzi tidak bernyawa lagi saat itu," katanya yang segera membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Parit.