Lelaki ditemui mati dengan kesan libasan di leher

Anggota forensik menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian pada Isnin. Gambar kecil: Barudin
Anggota forensik menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian pada Isnin. Gambar kecil: Barudin
A
A
A

PARIT - Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah dipercayai dibunuh dalam satu kejadian di sebuah rumah di Kampung Merua Batu 3, Jalan Haji Wahab dekat sini pada Isnin.

Keadaan mangsa, Norzi Jaafar, 58, itu disedari seorang penduduk kampung sekitar jam 10.30 pagi selepas melihat mangsa tidak sedarkan diri di luar pintu rumah dengan darah di sekeliling badan dan pintu serta lampu terbuka.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, pemeriksaan mendapati, terdapat kesan kecederaan di leher mangsa dipercayai kesan libasan senjata tajam.

Menurutnya, mangsa berkemungkinan meninggal dunia lebih dari 15 jam dari tempoh ditemui, berdasarkan keadaan tompokan darah yang telah beku dan bertukar warna.

"Mangsa tinggal seorang diri dan kali terakhir lelaki itu dilihat sekitar jam 6.30 petang semalam ketika berdiri di luar rumah. Mangsa ada menyapa penduduk kampung yang melalui jalan ini.

"Selepas itu mangsa tidak kelihatan sehinggalah dijumpai pagi ini oleh seorang penduduk yang datang ke rumah kerana mahu meminjam pam racun," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Isnin.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, tiada sebarang pergelutan atau kesan pecah masuk rumah di tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

Katanya, barang-barang berharga milik mangsa termasuk sejumlah wang tunai yang disimpan dalam dompet juga tidak terusik.

"Jadi buat masa ini, kita menolak andaian bahawa kes ini membabitkan kes samun.

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui motif sebenar kejadian termasuk suspek terlibat, senjata digunakan juga masih belum dapat dikesan," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.