Warga emas maut dengan kesan tikam di leher, pipi, telinga

Seorang wanita warga emas ditemukan maut dengan kesan tikaman pada leher dalam bilik tidur di rumahnya di Kampung Tersusun Simpang Lima Parit Buntar pada Selasa. - Gambar hiasan
Seorang wanita warga emas ditemukan maut dengan kesan tikaman pada leher dalam bilik tidur di rumahnya di Kampung Tersusun Simpang Lima Parit Buntar pada Selasa. - Gambar hiasan
A
A
A

PARIT BUNTAR - Seorang wanita warga emas ditemukan maut dengan kesan tikaman pada leher dalam bilik tidur di rumahnya di Kampung Tersusun Simpang Lima di sini pada Selasa.

Mayat mangsa berusia 61 tahun berkenaan ditemukan oleh jirannya sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis sekitar jam 6.45 petang.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan separuh bogel dengan kesan darah pada bantal, tilam dan dinding.

Mohd Yusri
Mohd Yusri

"Pemeriksaan lanjut menemukan kesan luka potong dan luka tikaman pada telinga, leher dan pipi mangsa.

"Terdapat juga kesan lebam di lengan mangsa dipercayai berlaku pergelutan dengan suspek ketika cuba mempertahankan diri," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati suspek memecah masuk rumah mangsa berikutan terdapat kesan umpil pada tingkap.

"Bagaimanapun, tiada barang berharga milik mangsa yang hilang. Mangsa tinggal sendirian di rumah berkenaan.

"Mayat dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan kesan luka tikaman pada leher," katanya.

Kata Mohd Yusri, usaha mengesan suspek giat dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian itu.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan bunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau di talian 05-721222 bagi membantu siasatan.