Langgar polis trafik, penuntut dipenjara tiga bulan, denda RM5,000

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penuntut kolej swasta yang videonya tular selepas kereta dipandunya melanggar seorang anggota polis trafik sedang bertugas kelmarin, dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret M Saravanan menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Wooi Zhan, 25, selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan Tan menjalani hukuman penjara lima bulan, sekiranya gagal membayar denda, selain lesen memandunya digantung selama tiga tahun berkuat kuasa hari ini.

Tertuduh membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Tan didakwa didakwa memandu kereta Mercedes Benz miliknya secara melulu dan merbahaya sehingga menyebabkan kecederaan terhadap Konstabel Mohamad Aniq Ariz Mohd Kassim, 22, yang sedang menjaga lalu lintas di persimpangan lampu isyarat Jalan Hishamuddin, Dang Wangi, di sini pada jam 8.11 pagi, Selasa lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang dua tahun dan lesen memandu percubaan dibatalkan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Zuraidi Zulkifli memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran dengan mengambil kira kegagalan tertuduh untuk mengawal kenderaan semasa jalan sibuk.

"Tertuduh juga telah gagal mematuhi lampu isyarat selain tidak peka ketika memandu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tan, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan dia telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

"Kejadian itu berlaku dengan pantas...saya panik namun saya tetap memberi bantuan kecemasan kepada mangsa.

"Saya akan menerima apa sahaja hukuman berat sekiranya melakukan kesalahan yang sama untuk kali kedua, tapi untuk kali ini tolong beri saya peluang dan hukuman ringan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan anggota polis trafik itu tercampak selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu oleh tertuduh di persimpangan lampu isyarat di Jalan Hishamuddin menghala ke Jalan Raja Laut di sini.

Akibat kemalangan itu, mangsa cedera pada kaki dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.

Kejadian tersebut turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu sebelum tular di media sosial. - Bernama