Isu LCS sengaja dimainkan supaya rakyat tolak BN

Isham semasa menyampaikan ceramah dalam program Cabaran dan Peluang Barisan Nasional Di Bandar di Dewan Taman Molek, Pasir Gudang, pada malam Sabtu.
Isham semasa menyampaikan ceramah dalam program Cabaran dan Peluang Barisan Nasional Di Bandar di Dewan Taman Molek, Pasir Gudang, pada malam Sabtu.
A
A
A

PASIR GUDANG - Strategi pembangkang memainkan isu projek kapal tempur pesisir (LCS) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bertujuan membangkitkan kemarahan rakyat sekali gus menolak untuk mengundi Barisan Nasional (BN).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, isu berkenaan dimainkan untuk mempengaruhi sentimen rakyat namun UMNO percaya taktik tersebut tidak akan berjaya.

"Pakatan Harapan (PH) sedang mencari isu (untuk PRU15) kerana mahu menutup kelemahan-kelemahan mereka semasa menjadi kerajaan gagal. Mereka sudah kalah dalam beberapa pilihan raya termasuk dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk di Johor.

"Rakyat sudah tahu taktik mereka. Rakyat juga masih ingat penipuan-penipuan yang mereka lakukan, tidak menunaikan janji dalam manifesto, meranapkan ekonomi dan mengkhianati rakyat dengan melompat parti.

"Ini tiga perkara yang rakyat ingat sampai sekarang," katanya kepada pemberita sebelum menyampaikan ceramah dalam program Cabaran dan Peluang Barisan Nasional Di Bandar di Dewan Taman Molek di sini pada malam Sabtu.

Pada 9 Julai lalu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mendakwa, isu penyelewengan projek LCS itu akan menjadi 'ribut' yang membadai dan menumbangkan BN pada PRU15 nanti.

Isham berkata, keputusan melengah-lengahkan PRU15 hanya akan memberi peluang kepada pembangkang untuk terus memainkan isu dan BN tidak boleh hanya terus menjadi defensif.

ISHAM
ISHAM

BN katanya, kini mempunyai kelebihan serta momentum yang bagus jika PRU15 diadakan segera tetapi pada masa sama tidak menafikan mungkin ada isu dimainkan pembangkang akan mempengaruhi keputusan PRU15 jika tidak ditangani dengan baik.

Beliau melihat kegagalan kerajaan PH dan juga kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam mentadbir negara ketika tempoh pandemik Covid-19 dilihat akan memberi kelebihan kepada BN.

Faktor berkenaan katanya, menjadi lebih besar melibatkan pengundi di kawasan bandar berbanding pengundi di kawasan luar bandar.

Jelasnya, ini kerana masyarakat di bandar lebih terkesan akibat kegagalan kerajaan mengawal ekonomi dan pentadbiran negara berbanding masyarakat di kawasan luar bandar.

"Ketika pandemik Covid-19 lalu, individu yang paling terjejas adalah penduduk di kawasan bandar, dengan majoriti yang kehilangan kerja dan terputuslah pendapatan adalah mereka," katanya.