LCS: Satu lagi dokumen rahsia bakal didedahkan

Satu lagi dokumen rahsia mengenai penyelewengan kapal tempur pesisir (LCS) bakal didedahkan kepada rakyat. Gambar kecil: Asyraf Wajdi
Satu lagi dokumen rahsia mengenai penyelewengan kapal tempur pesisir (LCS) bakal didedahkan kepada rakyat. Gambar kecil: Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Satu lagi dokumen rahsia mengenai penyelewengan kapal tempur pesisir (LCS) bakal didedahkan kepada rakyat.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat memaklumkan, ia adalah dokumen laporan forensik audit mengenai kelewatan memperoleh kapal berkenaan.

Jelasnya, pendedahan tersebut akan dibuat setelah satu arahan dikeluarkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengenainya.

“Menurut Datuk Seri Hishammuddin, beliau telah mengarahkan pihak Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) menyahklasifikasikan satu lagi dokumen rahsia untuk membolehkan satu lagi laporan dikongsikan kepada rakyat iaitu dokumen Laporan Forensik Audit Mengenai Kelewatan Kapal LCS.

“Laporan tersebut akan menjelaskan lagi aspek dan dalang penyelewengan dan korupsi yang berlaku,” ujarnya.

Beliau berkata, makluman tersebut diketahui olehnya sejurus selesai Mesyuarat Barisan Nasional (BN) di Johor Baharu pada Jumaat.

“Siapa agaknya yang menangguk di air yang keruh dan menjadi dalang kepada kelewatan ini? Kita tunggu pendedahan Laporan Forensik Audit ini, “ katanya.

Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) sebelum ini telah menyahklasifikasikan laporan audit forensik mengenai projek pembinaan kapal tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia merupakan antara komitmen dan jaminan kerajaan tentang siasatan telus, tanpa melindungi sesiapa pun.