Rumah Ngaji siap sedia anjur Malaysia #QuranHour

Delegasi dari Rumah Ngaji Pahang dan Rumah Ngaji Pulau Pinang memberi sokongan Malaysia #QuranHour yang akan diadakan pada 30 Ogos depan.
Delegasi dari Rumah Ngaji Pahang dan Rumah Ngaji Pulau Pinang memberi sokongan Malaysia #QuranHour yang akan diadakan pada 30 Ogos depan.
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa Rumah Ngaji di bawah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) telahpun membuat persediaan rapi di lokasi masing-masing sempena Malaysia #QuranHour yang akan berlangsung pada 30 Ogos depan.

Penyelaras Rumah Ngaji Pulau Pinang, Zaiton @Zariyah Abdullah berkata, pihaknya memilih Masjid Jamek Tasek Gelugor, Seberang Prai Utara sebagai lokasi utama penganjuran Malaysia #QuranHour pada tahun ini.

Menurutnya, selain lokasi utama tersebut, pihaknya turut memberikan autoriti kepada 39 Rumah Ngaji di Pulau Pinang untuk menganjurkan program berkenaan di lokasi masing-masing.

“Sebagai contoh, kita ada Surau Al-Muttaqin, Surau Al-Falah, Masjid Permatang Tok Gelam, Masjid Umar Abdul Aziz dan beberapa sekolah agama dan dewan-dewan komuniti.

“Insya-ALLAH kita akan usahakannya supaya sambutan Malaysia #QuranHour tahun ini mencapai objektif, di samping menghidupkan lagi semangat tersebut di setiap Rumah Ngaji di Pulau Pinang.

“Selain itu, kita juga mendapat sokongan daripada Pejabat Mufti Pulau Pinang dalam melaksanakan Malaysia #QuranHour, malah mereka sendiri akan turut serta menjayakan program ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian sewaktu kunjungan muhibah di WUIF @Karangkraf di sini pada Sabtu.

Kunjungan muhibah itu dihadiri oleh 30 peserta Rumah Ngaji Pulau Pinang, manakala 86 peserta lagi dari Rumah Ngaji Pahang.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff yang mana turut berkongsikan dengan lebih terperinci mengenai program yang akan diadakan itu.

Tambah Zaiton, sambutan Malaysia #QuranHour yang diadakan tahun ini turut memberi fokus kepada cara untuk menarik rakan-rakan bukan Muslim untuk bersama-sama bersujud kepada ALLAH SWT.

“Walaupun hanya dengan sepotong ayat, sekurang-kurangnya mesej kita sampai kepada mereka. Mudah-mudahan ia memberikan ‘Nur’ dan juga ‘Hidayah’,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Rumah Ngaji Pahang, Mohd Rozamli Mohd Rozak berkata, persediaan untuk program Malaysia #QuranHour sudahpun mencapai 70 peratus ketika ini dan antara lokasi utama yang dipilih ialah Maahad Tahfiz Negeri Pahang.

Mohd Rozamli dan Zaiton
Mohd Rozamli dan Zaiton

Menurutnya, program tersebut juga akan dirasmikan oleh Exco Agama negeri berkenaan.

“Dari segi kempennya pula, kita akan salurkan melalui Jabatan Agama, Jabatan Mufti, pihak Yayasan Pahang, Jabatan Pendidikan Negeri dan 31 Rumah Ngaji peringkat cawangan masing-masing.

"Rakan sinergi kita pula antaranya Maahad Tahfiz itu sendiri dan Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM).

“Justeru, dari segi persiapan kita sudah capai hampir 70 peratus dan sekarang ini kita ke arah untuk perkasakan lagi kempen Malaysia #QuranHour. Kita ada lebih kurang 10 hari. Jadi ruang-ruang yang ada ini kita besarkan gelombang bagi menampakkan semarak Malaysia #QuranHour di Pahang. Itu yang kami cuba aturkan,” katanya.

Ditanya mengenai surah al-Sajdah yang menjadi tema pada program tersebut, beliau berpandangan, ia merupakan satu penawar kepada permasalahan isu kemasyarakatan ketika ini.

Katanya, masyarakat sukar untuk kembali ke pangkal jalan berikutan isu kesombongan yang ada dalam diri masing-masing.

“Justeru, masing-masing perlu tunduk kepada aturan yang sepatutnya. Kalau kita boleh memanfaatkannya dalam kehidupan kita dengan bertadabbur kepada surah al-Sajdah terutama ayat 15, ia akan menjadi penawar kepada segala permasalahan,” katanya.