Pengajaran daripada kes skandal LCS

Skandal LCS harus jadi iktibar tentang bagaimana dasar perolehan pertahanan negara mesti diubah. - Foto Bernama
Skandal LCS harus jadi iktibar tentang bagaimana dasar perolehan pertahanan negara mesti diubah. - Foto Bernama
A
A
A

SEPERTI yang ditunggu-tunggu, Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) akhirnya mendedahkan kepada umum mengenai kepincangan dalam isu perolehan kapal tempur pesisir (LCS).

Faktor kelemahan tadbir urus Kementerian Pertahanan (Mindef) adalah punca kemelut pembekalan LCS.

JKSTUPKK juga merumuskan bahawa pengurusan kontrak pembekalan LCS tidak mengambil kira kepentingan kerajaan, selain beberapa lagi kelemahan yang dikenal pasti.

Pendedahan tersebut sedikit sebanyak meredakan kemarahan rakyat Malaysia terhadap satu lagi kes penyelewengan besar, kali ini melibatkan hal ehwal keselamatan negara pula.

Sekarang bukan lagi rahsia. Mereka yang bersalah dan mungkin berselindung di sebalik alasan 'rahsia rasmi' harus disiasat serta diheret ke muka pengadilan.

Bukan sahaja kerana penyelewengan duit rakyat tetapi pengkhianatan kepada negara.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebelum ini berkata, pihaknya dalam tindakan menyelesaikan kes LCS.

Beberapa kertas siasatan telah dibuka, namun beliau tidak mendedahkan sama ada ia mengaitkan orang politik mahupun orang awam.

Selasa lalu, bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Noor, 78, telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah projek LCS melibatkan dana syarikat bernilai lebih RM21 juta.

Selepas ini sudah pasti akan ada lagi individu-individu terlibat diheret ke muka pengadilan.

TLDM sepatutnya mendapat kelengkapan yang sesuai untuk menjalankan tugas mereka kepada negara.

Bagaimana kedaulatan negara dapat dijaga jika aset yang dimiliki pun ‘sekadar boleh’ sedangkan TLDM harus dalam keadaan siap siaga sepanjang masa mendepani ancaman maritim termasuk dari sudut kelengkapan dan keupayaan aset-asetnya.

Memesan kelengkapan ketenteraan tanpa mengambil kira keperluan dan pandangan TLDM, sebaliknya hanya memikirkan ‘imbuhan’ serta mendapatkan projek untuk ‘kroni’ amat dikesali.

Justeru, LCS atau mana-mana projek kerajaan selepas ini mesti dipantau dengan teliti pada masa hadapan bagi memastikan tiada lagi wang rakyat dibazirkan.

Skandal LCS harus jadi iktibar tentang bagaimana dasar perolehan pertahanan negara mesti diubah.

Jika masih tidak ‘insaf’, tidak mustahil akan timbul lagi skandal penyelewengan lain di negara ini yang menyebabkan Malaysia kerugian besar.