SPRM dalam tindakan selesaikan kes LCS

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih dalam tindakan untuk menyelesaikan siasatan berhubung skandal perolehan kapal tempur pesisir (LCS).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya telah membuka beberapa kertas siasatan berkenaan kes itu.

"Siasatan masih dijalankan dan kita ada buka beberapa kertas siasatan di mana salah satu kertas siasatan telah dilengkapkan dan individu berkenaan telah dituduh di mahkamah.

"Setiap kertas siasatan yang telah dilengkapkan akan diserahkan kepada pihak Pejabat Peguam Negara untuk kajian sebelum tindakan lanjut diambil," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Azam bagaimanapun tidak mendedahkan siapa individu terlibat sama ada ia mengaitkan orang politik mahupun orang awam.

Pada Selasa, bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Noor, 78, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah projek LCS membabitkan dana syarikat bernilai lebih RM21 juta.

Pada 11 Ogos lalu, SPRM telah mencadangkan beberapa nama kepada Pejabat Peguam Negara untuk didakwa.

Sebelum itu, pada 4 Ogos, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengumumkan sembilan rumusannya sebagai punca kepincangan projek LCS bernilai RM9 bilion.

Melalui laporan berkenaan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.