Keputusan cemerlang STPM ubati kekecewaan

Tengku Iskandar Firdaus gembira dapat hadiahkan keputusan cemerlang STPM kepada ibunya, Zaharah.
Tengku Iskandar Firdaus gembira dapat hadiahkan keputusan cemerlang STPM kepada ibunya, Zaharah.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kekecewaan seorang pelajar kerana gagal menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi walaupun mendapat 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atas faktor kesilapan teknikal ketika mengisi permohonan UPU akhirnya terubat.

Tengku Iskandar Firdaus Tengku Hasim, 20, dari Kampung Pak Katak, Kuala Nerus mampu tersenyum lebar apabila berjaya meraih keputusan cemerlang iaitu 4A 1B dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang dimumkan serentak pada Khamis.

Pelajar Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Batu Burok itu berkata, keputusan tersebut merupakan hadiah istimewa buat ibu, Zaharah Awang, 58, dan bapanya, Tengku Hasim Tengku Jusoh, 57, yang bekerja sebagai peniaga sayur.

“Saya bukan datang dari keluarga yang senang, jadi saya kena berusaha belajar bersungguh-sungguh supaya dapat meraih kejayaan cemerlang dan boleh membalas jasa kedua ibu bapa nanti,” katanya yang merupakan anak ke-10 daripada 12 beradik.

Menurut Tengku Iskandar Firdaus, antara tips belajar yang selalu diamalkan beliau adalah memberi sepenuh perhatian dalam kelas supaya dapat memahami apa yang diajar oleh guru selain mengulang kaji pelajaran sehingga lewat malam.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan gembira dengan kejayaan ini dan bercadang untuk menyambung pengajian ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA),” katanya yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiaz, Dungun.

Seorang lagi pelajar SMAASZA, Umie Azura Mohd Nazri, 20, yang mendapat 4A berkata, impian untuk mengeluarkan keluarga dari kepompong kemiskinan menjadi pendorong utama dia belajar bersungguh-sungguh sehingga memperolehi keputusan cemerlang.

Jelas anak sulung daripada lima beradik itu, bapanya, Mohd Nazri Jusoh, 47, hanya bekerja sebagai buruh kontrak yang berpendapatan sekitar RM1,500 sebulan manakala ibu, Siti Mariam Husin, 39, seorang suri rumah.

Umie Azura (tengah) bersama ibu dan bapanya yang hadir meraikan kecemerlangannya dalam STPM di SMAASZA pada Khamis.
Umie Azura (tengah) bersama ibu dan bapanya yang hadir meraikan kecemerlangannya dalam STPM di SMAASZA pada Khamis.

“Saya harap dapat bantu keluarga mencapai kehidupan yang lebih baik dan sebagai anak sulung, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk berjaya dalam pelajaran kerana ia bakal menjadi contoh kepada adik-adik,” katanya.

Umie Azura yang berasal dari Kijal, Kemaman turut berkongsi rahsia kejayaannya iaitu sentiasa fokus dan rajin mengulang kaji pelajaran selain menjaga hubungan dengan ALLAH SWT, ibu bapa dan guru.

“Selepas ini saya berhasrat untuk menyambung pengajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),” katanya.