Didenda RM20,000 gaji tukang urut wanita tanpa permit

Hang Seng (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis.
Hang Seng (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Seorang lelaki didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas kesalahan menggaji dua tukang urut wanita warga asing tanpa permit.

Tertuduh, Thong Hang Seng, 49, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menggajikan dua wanita warganegara Thailand iaitu Siriporn Konkuntod dan Duangmani Chaisri yang tidak mempunyai permit sah untuk bekerja dan memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di Temasek Traditional Massage Level G No 57, Jalan D' Albuquerque, Perkampungan Portugis Ujong Pasir, kira-kira jam 8 malam pada 2 Ogos lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959 Pindaan 2002 yang membawa hukuman denda minimum RM10,000 dan maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan bagi setiap pekerja.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim yang memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dikenakan kerana pendapatan perniagaan terkesan sejak pandemik Covid-19.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan tujuh bulan jika gagal membayar denda itu.