Bekas ketua jawatankuasa penganjur Olimpik Tokyo ditahan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TOKYO - Bekas ketua jawatankuasa penganjur Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo, Haruyuki Takahashi, ditahan kerana disyaki menerima rasuah, lapor Sputnik.

Pada akhir Julai, polis Jepun bertindak menggeledah kediaman Takahashi dan ibu pejabat syarikat pengiklanan Dentsu, yang terlibat dalam proses pemilihan penaja Sukan Olimpik Tokyo, menurut stesen penyiaran NHK.

Takahashi merupakan ahli lembaga pengarah syarikat itu dan disyaki menerima rasuah 45 juta yen (AS$334,590), menurut stesen penyiaran itu.

Dentsu dipercayai menerima rasuah daripada seorang penaja Sukan Olimpik iaitu syarikat pakaian AOKI di bawah kontrak penyediaan servis konsultasi.

Dalam masa yang sama, AOKI turut menerima kontrak bagi pakaian rasmi jawatankuasa Olimpik dan penggunaan simbol Olimpik.

Bekas pengerusi AOKI Holdings Hironori Aoki, turut ditahan berhubung kes itu.

Agensi Berita Kyodo melaporkan bahawa Takahashi telah dituduh menerima rasuah sebanyak 51 juta yen.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa melarang ketua jawatankuasa penganjur Olimpik daripada menerima sebarang imbuhan untuk aktiviti yang berkaitan dengan tugas mereka.

Takahashi telah menafikan semua tuduhan, menegaskan bahawa khidmat perundingan melibatkan sukan secara umum dan bukan untuk Sukan Olimpik.

Sukan Olimpik Musim Panas di Tokyo sebelum ini dijadualkan pada 2020, tetapi ditangguhkan selama setahun kerana wabak Covid-19.

Temasya itu turut dilanda beberapa kontroversi dan akhirnya berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 menjadi kejohanan pertama dalam sejarah yang diadakan tanpa kehadiran penonton. - Bernama