KKM perlu laksana perubahan budaya kerja: Khairy

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. - Foto Bernama
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perubahan terhadap budaya kerja di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dilaksanakan bagi menangani insiden burnout, buli dan budaya kerja tidak sihat dalam kalangan petugas kementerian itu.

kata Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penambahbaikan itu perlu dilakukan berdasarkan kepada cadangan dikemukakan Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) dalam laporannya pada Rabu.

“Saya ambil maklum laporan HWCITF. Walaupun tiada unsur buli pada kes kematian Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) di Hospital Pulau Pinang (HPP), insiden burnout, buli dan budaya kerja kurang sihat disahkan berlaku di beberapa fasiliti KKM.

“Kita perlu memulakan perubahan budaya dan organisasi di KKM berdasarkan cadangan tersebut,” katanya menerusi ciapan di Twitternya pada Rabu yang mengulas laporan tersebut.

HWCITF pada Rabu merumuskan bahawa tiada bukti kukuh bagi mengaitkan insiden kematian PPS HPP pada 17 April lalu dengan unsur buli di tempat kerja.

Bagaimanapun, laporan tersebut menyatakan insiden burnout dan buli serta budaya kerja kurang sihat ddisahkan berlaku di KKM, pada tahap berbeza di sesetengah fasiliti kesihatan KKM.

Menurutnya, budaya buli didapati tidak hanya berlaku dalam kalangan PPS, malah ia merentasi semua peringkat warga kerja KKM secara langsung atau tidak langsung.

Antara faktor penyumbang perkara tersebut menurut HWCITF adalah kekurangan kecekapan, kemahiran dan tahap kesediaan untuk melaksanakan tugasan diamanahkan.

Susulan daripada itu, laporan HWCITF yang turut menyentuh antaranya mengenai pematuhan dan pelaksanaan ke atas garis panduan dan pengurusan aduan itu menggariskan 10 syor utama bagi menambah baik perkhidmatan kesihatan di KKM dan di kesemua fasilitinya.

Syor tersebut adalah melaksanakan semakan visi, misi dan nilai teras kementerian kesihatan; mengkaji semula struktur dan menyegerakan penggunaan sistem Myhelp dan mendigitalkan proses serta mengintegrasian sistem digital sedia ada.

HWCITF mengesyorkan kajian dan semakan semula dasar, polisi dan garis panduan Jawatankuasa Kelayakan Perubatan (JKP); melaksanakan pra-saringan calon; pengukuhan/penetapan standard untuk Latihan PPS dan penambahbaikan sistem e-Housemen.

Laporan tersebut turut memberikan syor agar KKM melakukan penyeragaman Program Transformasi Minda (PTM) dan Orientasi Hospital serta menubuhkan kumpulan sokongan PPS dan lain-lain perkhidmatan.