WCE jangka 160,000 kenderaan sehari hujung minggu ini

Jumlah trafik harian di WCE berpotensi melebihi 160,000 kenderaan sehari menjelang hujung minggu ini.
Jumlah trafik harian di WCE berpotensi melebihi 160,000 kenderaan sehari menjelang hujung minggu ini.
A
A
A

KLANG - Jumlah trafik harian di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) berpotensi melebihi 160,000 kenderaan sehari menjelang hujung minggu ini susulan aliran pulang orang ramai selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

WCE dalam kenyataan memaklumkan, kemuncak aliran trafik dijangka berlaku antara Sabtu hingga Ahad ini apabila pengguna lebuh raya kembali ke Lembah Klang selepas cuti panjang selain berakhirnya cuti persekolahan dan ketibaan awal Ramadan.

Menurutnya, kesesakan ketara dijangka berlaku dari pertengahan petang hingga lewat malam terutama di laluan menghala masuk ke Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

"Berbeza dengan aliran keluar yang berlaku secara berperingkat pada awal musim perayaan, perjalanan pulang kali ini dijangka lebih padat berikutan orang ramai perlu kembali kepada rutin harian menjelang hari-hari awal Ramadan," menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Sehubungan itu, pengguna lebuh raya disaran merancang perjalanan lebih awal bagi memastikan perjalanan pulang berjalan lancar dan selamat.

"Antara langkah dicadangkan ialah memuat turun aplikasi WCE App bagi mendapatkan maklumat trafik masa nyata termasuk paparan CCTV serta info terkini lebuh raya, selain digalakkan bertolak awal pada waktu pagi bagi mengelakkan waktu puncak sebelah petang dan malam," ujar kenyataan itu.

Kenyataan itu mengingatkan pengguna supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dengan memeriksa tahap minyak, brek, tayar dan enjin sebelum memulakan perjalanan.

Bagi pengguna kenderaan elektrik (EV), kenyataan itu memaklumkan, kemudahan pengecas berkapasiti tinggi disediakan di Plaza Tol Trong, Plaza Tol Taiping Selatan, Plaza Tol SAE dan Plaza Tol Assam Jawa.

Dalam pada itu, kenyataan itu memberitahu, penunggang motosikal diingatkan supaya tidak menggunakan lorong kecemasan kerana ia dikhaskan sepenuhnya untuk kegunaan kecemasan termasuk pengurusan insiden dan kenderaan rosak.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu turut menyarankan pengguna berehat di enam Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang beroperasi sepenuhnya iaitu R&R Sungai Nyiur (arah utara dan selatan), R&R Bukit Kapar (arah utara dan selatan), R&R Sijangkang serta R&R Johan Setia.

Selain itu, pengguna diminta memastikan baki tol mencukupi dengan menambah nilai kad Touch ‘n Go atau e-dompet melalui kiosk layan diri yang disediakan di semua 14 plaza tol bagi mengelakkan kelewatan dan barisan panjang.

Sementara itu, Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Strategik dan Libat Urus WCE, Syed Mohammed Idid berkata, pihaknya komited memastikan perjalanan yang selamat dan lancar buat semua ketika mengakhiri sambutan Tahun Baharu Cina dan menyambut ketibaan Ramadan.

 

 

"Dengan perancangan awal dan mengutamakan keselamatan, kita dapat memastikan kemuncak balik kampung ini berakhir dengan lancar dan selamat," tambahnya.

 

 

Sekiranya berlaku kecemasan, pengguna boleh menghubungi talian Infoline WCE di 1700-81-6600 untuk bantuan segera.

 

 

CAPTION

 

 

Jumlah trafik harian di WCE berpotensi melebihi 160,000 kenderaan sehari menjelang hujung minggu ini.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!