Tiada bukti kukuh kematian doktor pelatih disebabkan buli

Hospital Pulau Pinang
Hospital Pulau Pinang
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiada bukti kukuh bagi mengaitkan insiden kematian seorang pegawai perubatan siswazah (PPS) di Hospital Pulau Pinang (HPP) dengan unsur buli di tempat kerja, kata Pengerusi Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir.

Beliau berkata, ia adalah dapatan HWCITF selepas melaksanakan analisis ke atas Laporan Pengesanan dan Pengesahan oleh Unit Integriti Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung insiden itu.

"HWCITF mengekalkan pandangan ini selagi mana tiada maklumat tambahan berkaitan insiden kematian PPS daripada polis menerusi siasatan mereka ke atas kes ini,” katanya pada taklimat media khas laporan Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan 2022 di sini hari ini.

HWCITF ditubuhkan pada 13 Mei lepas susulan insiden kematian seorang PPS di HPP selain laporan dan aduan yang diterima berkaitan kejadian buli serta masalah tekanan mental yang dihadapi bukan sahaja oleh PPS malah kakitangan perkhidmatan kesihatan.

Pada 17 April lepas, seorang doktor pelatih lelaki berusia 25 tahun ditemukan maut dipercayai terjatuh dari unit kediamannya di bangunan berhampiran HPP. - Bernama