Tiga pemilik syarikat palsukan dokumen didenda RM50,000

Azlan (depan) dan Wan Helmi (tengah) diiringi pegawai SPRM ke Kaunter Bayaran Kompleks Mahkamah Alor Setar untuk membayar denda pada Rabu.
Azlan (depan) dan Wan Helmi (tengah) diiringi pegawai SPRM ke Kaunter Bayaran Kompleks Mahkamah Alor Setar untuk membayar denda pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Tiga pemilik syarikat masing-masing didenda RM50,000 selepas mengaku bersalah atas tuduhan pilihan memalsukan penyata akaun bank syarikat mereka pada 2019 bagi mendapatkan tender pembersihan awam di wilayah utara.

Pengakuan tersebut dibuat oleh Azlan Abd Hashim, 48; Nahairizaki Mohd Zin, 42, dan Wan Helmi Wan Darus, 49, di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Rabu.

Berdasarkan pertuduhan pilihan yang dibacakan kepada mereka, ketiga-tiganya secara curang menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun bank syarikat masing-masing bagi bulan Oktober hingga Disember 2018.

Dokumen tersebut digunakan oleh Azlan, Nahairizaki dan Wan Helmi iaitu masing-masing pada 19 Januari 2019, 18 Januari 2019 dan 22 Januari 2019 bagi tujuan permohonan tender Penswastaan ​​Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara di Wisma Idaman Sdn Bhd, Alor Setar.

Tiga pemilik syarikat ini didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama iaitu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rehab Abdul Shukur dalam rayuan kepada mahkamah memohon agar hukuman setimpal dikenakan agar menjadi pengajaran kepada yang lain.

Sementara itu, Harmi Thamri sebelum menjatuhkan hukuman berkata, hukuman yang dikenakan adalah selepas mengambil kira rayuan tertuduh, kepentingan orang awam dan undang-undang bagi memastikan kesalahan sama tidak diulangi dan menjadi peringatan kepada masyarakat.

Beliau kemudiannya menetapkan denda RM50,000 kepada setiap tertuduh dan diarahkan penjara enam bulan jika gagal membayarnya.

Semua pemilik syarikat tersebut yang tidak diwakili peguam kemudiannya membayar denda tersebut di Kaunter Bayaran Kompleks Mahkamah Alor Setar.