Najib mohon tangguh prosiding kali kedua

Najib Tun Razak (tengah) tiba di Mahkamah Persekutuan pada Selasa. - Foto Bernama
Najib Tun Razak (tengah) tiba di Mahkamah Persekutuan pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memohon kepada Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa supaya rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya, ditangguhkan ke tarikh lain.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Najib berkata demikian sejurus mahkamah menolak permohonannya untuk memasukkan bukti tambahan berhubung peranan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dengan Syarikat SRC International Sdn Bhd.

Menurutnya, rayuan akhir ini membabitkan 179 jilid dokumen yang mencecah sehingga 1,000 muka surat dan tidak termasuk keterangan saksi yang ramai.

“Biasanya saya tidak datang ke mahkamah untuk meminta penangguhan melainkan ada keperluan.

“Saya dengan rasa rendah diri dan penuh ikhlas, merayu supaya keadilan bukan saja dilaksanakan, malah dilihat sudah dilaksanakan. Oleh itu, berilah peluang kepada saya dan pasukan ini untuk membuat persediaan.

“Saya memohon, kami diberikan peluang yang sewajarnya dan anak guam diberikan perlindungan sama rata, benarkan kami untuk kembali (ke mahkamah) dan berhujah (dalam rayuan akhir),” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan adhoc, Datuk V Sithambaram memaklumkan bahawa pihaknya menyerahkan kepada budi bicara mahkamah untuk membuat keputusan.

Katanya, mahkamah sudah menolak permohonan untuk menangguhkan rayuan akhir sebanyak dua kali di mana pembelaan juga sudah dimaklumkan ketika pengurusan kes bahawa ia akan tetap diteruskan mengikut tarikh yang dijadualkan sebelum ini.

“Fakta kes ini sudah ada tangan mahkamah, tetapi kami serahkan segalanya kepada budi bicara (mahkamah)," katanya.

Prosiding ditangguhkan sementara, sebelum lima panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan mengenai permohonan tersebut.

Turut bersidang ialah empat panel hakim iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.