JHEAINS pantau gerakan ajaran Hadi Minallah di Sabah

Mohd Ariffin (tengah) ketika ditemui pemberita di Wisma Muis, Kota Kinabalu pada Selasa.
Mohd Ariffin (tengah) ketika ditemui pemberita di Wisma Muis, Kota Kinabalu pada Selasa.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) memantau dengan ketat pergerakan ajaran sesat Hadi Minallah ke negeri ini.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif bagaimanapun berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kegiatan penyebaran ajaran sesat itu ke negeri ini.

"Setakat ini saya belum terima laporan. Saya akan dapatkan daripada bahagian penguat kuasa JHEAINS melalui pegawai pentadbiran daerah-daerah.

"Saya minta supaya mereka melihat perkara ini dan selepas itu kita akan buat ketetapan melalui JHEAINS dan Pejabat Mufti Sabah," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar pengumuman peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2021 di Wisma Muis pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas jika ada laporan berhubung gerakan ajaran sesat Hadi Minallah di Sabah ketika ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemantauan akan terus dilakukan di seluruh daerah bagi menangani isu ajaran agama Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Pemantauan akan kita buat di seluruh daerah. Imam di masjid-masjid dan guru-guru agama juga perlu peka terhadap perkara ini.

"Apa-apa yang rakyat atau masyarakat dengar ada yang canggung, yang tidak sesuai laporkan kepada JHEAINS, Muis atau Pejabat Mufti," tegasnya.

Sebelum itu, ajaran sesat yang berasal dari negara jiran dikesan berlaku di beberapa negeri di negara ini dan aktif menyebarkan dakyah sesat mereka melalui YouTube, Persatuan Nur Mutiara Mutmainnah.

Turut tular video seorang lelaki mendakwa sebagai pengasas ajaran itu, Wayang Hadi Kesumo atau Hadi Minallah Aminnullah Ahmad yang berasal dari Indonesia.