Pemilik, pekerja kedai nasi ayam diambil keterangan

Dua lelaki dipercayai pemilik dan pekerja sebuah kedai nasi ayam dan nasi itik sedang diambil keterangan oleh penguat kuasa di hadapan premisnya pada Selasa.
Dua lelaki dipercayai pemilik dan pekerja sebuah kedai nasi ayam dan nasi itik sedang diambil keterangan oleh penguat kuasa di hadapan premisnya pada Selasa.
A
A
A

GEORGETOWN - Pemilik kedai nasi ayam yang menjadi kontroversi susulan didakwa mengambil bahan masakan daripada sebuah restoran milik bukan Islam telah diambil keterangan berhubung perkara tersebut.

Tinjauan Sinar Harian mendapati sekumpulan penguat kuasa yang terdiri daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah menjalankan soal siasat terhadap dua lelaki di hadapan sebuah premis di kompleks membeli-belah di sini pada tengah hari Selasa.

Daripada pemerhatian, dua lelaki yang mana salah seorang daripada mereka dipercayai pemilik kedai sedang diambil keterangan dan dibantu seorang lagi lelaki disyaki pekerjanya.

Sinar Harian difahamkan, selepas keterangan diambil daripada dua lelaki tersebut, kumpulan penguat kuasa tersebut bergerak ke restoran nasi ayam dan nasi itik milik bukan Islam yang terletak di Paya Terubong untuk siasatan lanjut.

Salah seorang penguat kuasa ketika ditemui di lokasi berkata, mereka hanya datang untuk mengambil keterangan bagi menjalankan siasatan selanjutnya.

Katanya, hasil keterangan awal, mereka mendakwa nasi ayam dan nasi itik tersebut dimasak di premis makanan di sebuah kompleks membeli-belah di sini sebelum dibawa ke kedai di Sungai Ara.

"Kami datang ambil keterangan daripada pemilik dan seorang pekerja. Saya tidak boleh keluar kenyataan, hanya menjalankan siasatan.

"Apa-apa tunggu kenyataan rasmi daripada pihak atasan," katanya ketika ditemui di hadapan premis nasi ayam dan itik di sebuah kompleks membeli belah di sini pada Selasa.

Sebelum ini, tular klip video berdurasi 2 minit 38 saat berhubung dua lelaki dilihat memasuki sebuah restoran bukan Islam di Paya Terubong dipercayai untuk mengambil masakan nasi ayam dan menjualnya di gerai di Sungai Ara.

Perkara itu telah mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan orang Muslim terutamanya pelanggan yang pernah membeli juadah nasi ayam di kedai terbabit.

Difahamkan, setelah tular video tersebut, pemilik gerai telah menutup perniagaan mereka selepas dinasihati penduduk berdekatan.

Lebih mengecewakan, kedai itu tular dan mendapat perhatian ramai setelah ia mendapat liputan 'paid review' daripada seorang pempengaruh media sosial.

Bagaimanapun, pempengaruh tersebut telah tampil menjelaskan perkara sebenar yang mana, dia tidak mengetahui mengenai tuduhan tersebut dan hanya menjalankan tugas setelah dibayar untuk membuat 'paid review'.

Bimbang tuduhan tersebut akan mengeruhkan lagi keadaan, pempengaruh tersebut telah memadam video berkenaan.

Susulan daripada itu, tular sebuah lagi video dipercayai daripada pemilik kedai yang menafikan tuduhan tersebut.

Pemilik kedai terbabit menjelaskan bahawa mereka memasak makanan itu sendiri di sebuah premis di kompleks membeli belah sebelum membawanya untuk dijual di premisnya.