Pemilik, pekerja kedai makan tular belum dipanggil

Ahmad Zakiyuddin
Ahmad Zakiyuddin
A
A
A

GEORGETOWN - [KEMASKINI] Kerajaan Pulau Pinang dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) belum menerima sebarang aduan rasmi daripada mana-mana pihak berhubung dakwaan sebuah kedai menjual nasi ayam milik orang Melayu mengambil bahan masakan daripada sebuah restoran bukan Islam yang tular di media sosial.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, susulan daripada itu, tiada individu termasuk pemilik kedai dipanggil untuk diambil keterangan berhubung dakwaan tersebut.

Ahmad Zakiyuddin berkata, pemilik dan pekerja kedai serta beberapa individu yang didakwa terlibat sudah dikenal pasti namun belum dipanggil untuk siasatan.

"Setakat ini, saya difahamkan tiada aduan rasmi diterima daripada mana-mana pihak. Oleh demikian, tiada individu termasuk pemilik kedai dipanggil untuk siasatan lanjut.

"Bagaimanapun, saya sudah mengarahkan agensi termasuk JHEAINPP untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan serius itu kerana ia melibatkan sensitiviti orang Islam," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Kata beliau lagi, sehingga kini, JHEAINPP dan beberapa agensi sudah menjalankan siasatan dan siasatan secara menyeluruh akan terus dijalankan pada Selasa.

"Siasatan berdasarkan apa yang terkandung dalam media sosial sahaja setakat ini kerana kita belum mendapat sebarang aduan rasmi. Kita respons ke atas apa yang kita dapat maklumat melalui media sahaja.

"Pentadbiran agama Islam akan tengok dan siasatan secara terperinci selain mendapatkan maklumat secara sahih sebelum tindakan diambil. Bagaimanapun, siasatan awal telah dibuat namun belum lengkap, masih ada lagi yang perlu diambil kira," katanya.

Katanya lagi, perbuatan menipu dalam perniagaan terutamanya melibatkan sensiviti orang Islam adalah amat dikesali.

"Sekiranya selepas siasatan membuktikan semua dakwaan tersebut benar, ia merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab kerana menipu orang Islam selain berdosa. Ini kerana, ia melibatkan makanan yang menjadi darah daging.



"Walau apapun, tunggu sehingga siasatan lengkap dibuat. Kita tidak boleh membuat andaian berdasarkan apa yang ditular di media sosial, siasatan menyeluruh perlu dijalankan terlebih dahulu," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, A Mogan ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan susulan bersama JHEAINPP berhubung kes tersebut.

Sebelum ini, tular klip video berdurasi 2 minit 38 saat berhubung dua lelaki Melayu dilihat memasuki sebuah restoran bukan Islam di Paya Terubong dipercayai untuk mengambil masakan nasi ayam dan menjualnya di gerai milik orang Melayu di Sungai Ara.

Perkara itu telah mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan orang Muslim terutamanya pelanggan yang pernah membeli juadah nasi ayam di kedai terbabit.

Difahamkan, setelah tular video tersebut, pemilik gerai telah menutup perniagaan mereka selepas dinasihati penduduk berdekatan.