Kerajaan perlu pantau kos ambil amah Indonesia

Engku Ahmad Fauzi
Engku Ahmad Fauzi
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memantau dan memastikan kos maksimum RM15,000 bagi mendapatkan pembantu rumah (amah) Indonesia dipatuhi oleh agensi yang membekalkan pekerja.

Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein berkata, walaupun kos RM15,000 masih dianggap mahal, namun dengan adanya pemeteraian perjanjian antara kerajaan Republik Indonesia dengan kerajaan Malaysia, satu-satunya langkah untuk melindungi majikan adalah dengan membuat kawalan terhadap harga yang ditetapkan.

“Saya melihat penetapan kos maksimum melalui agensi pekerjaan yang dilantik sebanyak RM15,000 adalah satu langkah tepat kerana sebelum ini harganya dikawal oleh ejen. Malah, sebelum ini kos mengambil amah mencecah RM17,000.

“Bagi pihak majikan, ia sudah tentu membebankan tapi dengan adanya penetapan harga maksimum ini, ia lebih melindungi majikan daripada harga yang tidak terkawal.

“Cuma kita harapkan kos itu dapat dikurangkan dan pada masa sama, kerajaan memantau agar kos maksimum ini dapat dipatuhi dan kita tak mahu ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Kerajaan Indonesia dan Malaysia telah mencapai kesepakatan penyelesaian draf memorandum persefahaman (MoU) mengenai penempatan dan pelindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di Malaysia pada 1 April lalu.

Antara kandungan perjanjian itu adalah bayaran bagi pengambilan amah Indonesia yang ditetapkan tidak melebihi RM15,000,

Mengulas mengenai kos yang ditanggung majikan, Engku Ahmad Fauzi berkata, kos bagi mendapatkan amah terbahagi kepada dua iaitu kira-kira RM7,000 di Malaysia dan selebihnya di Indonesia.

Bayaran kepada agensi di Malaysia adalah sekitar RM7,000, dengan segala bayaran berkaitan termasuk levi, pas, wang jaminan dan bayaran pengambilan pembantu rumah asing (PRA) bernilai kira-kira RM4,000 dan kos agensi di antara RM2,000 ke RM3,000.

Bayaran selebihnya adalah melibatkan bayaran kepada agensi di Indonesia meliputi pasport, perubatan, tiket penerbangan dan dokumen perjalanan, selain bayaran lain di Malaysia seperti bayaran levi, bayaran pas, wang jaminan dan selainnya.

“Kita nak kerajaan pastikan harga itu tidak melampau kerana yang banyak untung adalah ejen di Indonesia. Itu yang kerajaan perlu kawal.

“Pada masa sama, kita harap hak majikan turut dibela. Berdasarkan persefahaman dua negara sebelum ini, pihak agensi kena ganti amah jika ada yang melarikan diri dalam tempoh masa enam bulan berkhidmat atau bagi balik duit majikan,” katanya.