Polis rampas 11,400 liter diesel bersubsidi RM24,510

Polis serbu dua lokasi berasingan disyaki lokasi penyimpanan diesel bersubsidi. Foto PDRM (Gambar kecil: Aidi Sham)
Polis serbu dua lokasi berasingan disyaki lokasi penyimpanan diesel bersubsidi. Foto PDRM (Gambar kecil: Aidi Sham)
A
A
A

PORT DICKSON - Polis menyerbu dua kawasan berasingan di kawasan Chuah dan Lukut selepas disyaki terlibat dengan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi kira-kira 11,400 liter bernilai RM24,510 pada Ahad.

Ketua Polis daerah Port Dickson, Aidi Sham Mohamed berkata, serbuan bermula jam 10.30 pagi hingga 9.30 malam itu dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Port Dickson bersama Balai Polis Lukut.

"Dalam operasi ini, pihak polis berjaya menahan empat lelaki berusia lingkungan 18 sehingga 53 tahun.

"Semasa pemeriksaan, suspek gagal mengemukakan sebarang permit pemborong atau peruncit mahupun surat kebenaran bertulis menyimpan diesel yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Aidi Sham berkata, selain itu pihaknya turut merampas tiga lori dan 11 tangki petak yang dimuatkan di bahagian belakang lori terbabit.

"Jumlah keseluruhan diesel yang dirampas dianggarkan lebih kurang 11,400 liter yang berjumlah RM24,510 mengikut harga pasaran semasa dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan mengubah suai pelbagai jenis lori dan meletakkan tangki di bahagian muatan.

"Suspek kemudiannya akan membeli diesel di stesen minyak dan mengisi menggunakan satu saluran kecil di bahagian bawah lori.

"Apabila semua tangki diesel telah penuh, suspek akan membawa ke stor simpanan untuk dikumpulkan sebelum dijual ke pasaran bagi mendapatkan keuntungan yang lebih," katanya.