Kes HFMD turun, ILI, URTI di Johor meningkat

Tian Soon
Tian Soon
A
A
A

JOHOR BAHRU - Johor menunjukkan penurunan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), namun mencatatkan peningkatan kes jangkitan saluran pernafasan iaitu Influenza-like-illness (ILI) dan Upper Respiratory Tract Illness (URTI).

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, terdapat penurunan kes HFMD sebanyak 11.8 peratus pada minggu epid 32 berbanding dengan minggu epid sebelumnya.

"Secara keseluruhan, kumulatif kes HFMD di Johor menunjukkan daerah Johor Bahru mencatatkan bilangan kes tertinggi sebanyak 3,045 kes, Kluang 1,129 kes, Batu Pahat 901 kes, Tangkak 896 kes, Segamat 781 kes, Kota Tinggi 711 kes, Pontian 579 kes,Muar 332 kes, Kulai 274 kes dan Mersing 132 kes.

"Sehingga kini, hanya satu wabak aktif HFMD dilaporkan melibatkan daerah Johor Bahru.

"Lokasi penularan wabak melibatkan taska (46 wabak) diikuti oleh rumah persendirian (22 wabak), tabika (14 wabak), tadika (sembilan wabak), prasekolah (sembilan wabak), sekolah rendah (tiga wabak), pusat jagaan harian (tiga wabak) dan lain-lain (dua wabak)," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sementara bagi wabak jangkitan saluran pernafasan, iaitu Influenza-like-illness (ILI) dan Upper Respiratory Tract Illness (URTI), sebanyak 6,072 kes jangkitan saluran pernafasan setakat minggu epid 32.

Angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 5.75 peratus berbanding 5,742 kes pada minggu sebelumnya.

"Kebanyakan kluster yang dilaporkan adalah melibatkan institusi pendidikan (77.8 peratus), namun tiada kluster baharu yang dilaporkan sepanjang minggu epid 32.

"Secara amnya, kes ILI dan URTI adalah jangkitan biasa yang berlaku tanpa musim di negara ini sepanjang tahun dan hanya memerlukan pemantauan dan pengasingan diri.

Artikel Berkaitan:

"Pemantauan yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor terhadap jangkitan ILI dan URTI, mendapati situasi masih terkawal walaupun terdapat beberapa kluster melibatkan sekolah berasrama dikesan," katanya.