'Karya disalin tanpa kebenaran kena bayar royalti'

Gambar hiasan - Foto 123rf (Gambar kecil: Ahmad Hussein)
Gambar hiasan - Foto 123rf (Gambar kecil: Ahmad Hussein)
A
A
A

SHAH ALAM - Isu karya penulis dan penerbit tempatan yang disalin tanpa kebenaran akan dapat ditangani melalui langkah yang sedang dibuat oleh Malaysia Reprographic Rights Centre Malaysia Berhad (MARC).

Ketua Pegawai Eksekutif MARC Berhad, Ahmad Hussein Tajuddin berkata, masalah karya yang disalin tanpa kebenaran ini sudah lama berlaku sehingga menyebabkan kerugian kepada penulis dan penerbit tempatan.

Menurutnya, lebih membimbangkan adalah amalan itu sering berlaku di peringkat sekolah serta universiti membabitkan guru dan pensyarah sekali gus melanggar Akta Hak Cipta 1987.

"Ramai dalam kalangan guru dan pensyarah yang melakukan fotokopi buku teks atau buku rujukan untuk diagihkan kepada pelajar dengan alasan buku tersebut agak mahal di pasaran.

"Kami bukan nak hentikan mereka daripada buat salinan semula, tetapi kami mahu jadikan ia sah dengan syarat mereka kena bayar royalti.

"Jika ia tidak diatasi, akan menyebabkan kerugian kepada penulis dan penerbit apatah lagi sekarang ini jualan buku menurun yang ditambah dengan masalah fotokopi ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

MARC telah ditubuhkan pada 2021 di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang diberi kuasa mengutip royalti karya sastera, seni, imej dan ilustrasi dan mengeluarkan lesen penggunaan tersebut bagi pengguna di Malaysia.

MARC turut disokong oleh Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (Mapim), Persatuan Aktivis Komik Malaysia (Pekomik), dan Persatuan Buku Gambar Kanak-Kanak Malaysia (MYCPB) serta sedang berbincang untuk melibatkan bersama Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ).

Beliau berkata, kutipan royalti itu akan diagihkan kepada ahli di bawah MARC Berhad berdasarkan tadbir urus badan perlesenan yang telus dan akauntabiliti.

"Jika di peringkat sekolah atau universiti kerajaan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi harus membayar royalti ini. Buat masa ini kita telah mengadakan perbincangan dengan mereka dan maklum balas yang diterima baik.

"Perkara sama juga kita buat secara terus kepada pihak swasta seperti sekolah antarabangsa dan sebagainya yang mana sebelum ini ada melakukan fotokopi terhadap sebarang buku dan lukisan," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan MARC akan mengadakan Seminar Kebangsaan Managing Copyright in Malaysia Education pada Khamis bagi memberi kefahaman mengenai keburukan menyalin semula tanpa kebenaran ini.

"Kita jemput wakil pihak kementerian, swasta, universiti, tadika dan sekolah supaya mereka faham apa fungsi dan kenapa royalti ini perlu dibayar," katanya.