Penting wujudkan Persatuan Wartawan Malaysia

Johan ditemui pemberita selepas selesai Forum Media Nasional Mengintai Landskap Masa Depan Media sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 di Hotel Hatten, di sini pada Ahad.
Johan ditemui pemberita selepas selesai Forum Media Nasional Mengintai Landskap Masa Depan Media sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 di Hotel Hatten, di sini pada Ahad.
A
A
A

MELAKA - Tokoh Wartawan Negara, Tan Seri Johan Jaaffar berpendapat pentingnya penubuhan Persatuan Wartawan Malaysia untuk menaungi wartawan di setiap peringkat termasuk eksekutif.

Beliau berkata, biarpun terdapat persatuan seperti Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ), namun terdapat keperluan untuk mewujudkan persatuan itu bagi menjaga kepentingan wartawan.

"Saya fikir sudah sampai masanya kita menubuhkan persatuan wartawan... memang saya tahu kita ada Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) tetapi tentulah NUJ memainkan peranannya tersendiri.

"Salah satu daripada apa yang telah dilakukan NUJ untuk memastikan kebajikan para wartawan terbabit dalam perbincangan perjanjian kolektif dan sebagainya.

"Kita tidak menafikan peranan itu tetapi lebih daripada itu, saya fikir sebagai para wartawan kita perlu bersatu dalam satu gerakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai Forum Media Nasional Mengintai Landskap Masa Depan Media sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 di Hotel Hatten, di sini pada Ahad.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya bertindak sebagai moderator, manakala ahli panel turut dianggotai Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican dari Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Ketua Editor Daily Express, Hayati Dzulkifli.

Beliau juga percaya bahawa Persatuan Wartawan Malaysia ini harus berdikari, bebas digerakkan karyawan atau wartawan sendiri untuk memastikan bahawa suara para wartawan itu lantang.

"Ada ura-ura mewujudkan Majlis Media Malaysia, namun saya percaya apa saja digerakkan oleh kerajaan kadang-kala boleh menimbulkan masalah tersendiri.

"Kita kena belajar daripada Indonesia. Misalnya Persatuan Wartawan Indonesia adalah organisasi yang sangat dihormati, mereka bukan sahaja sebuah organisasi yang mendapat pengiktirafan kerajaan tetapi lebih penting daripada itu," katanya.