24 panel pakar penerbitan, pendidikan bentang inovasi terkini

Naib Presiden Mabopa, S Sivabalan
Naib Presiden Mabopa, S Sivabalan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) buat julung kalinya menganjurkan webinar Educational Publisher Malaysia pada 9 Ogos 2022 bagi membincangkan inovasi terkini dalam dunia penerbitan buku pendidikan di peringkat antarabangsa.

Naib Presiden Mabopa, S Sivabalan berkata, webinar yang akan berlangsung selama sehari itu akan membabitkan pembentangan lebih 24 panel pakar penerbitan dan pendidikan khususnya dari negara maju dalam bidang teknologi serta pendidikan.

Antara yang akan terlibat ialah Pengarah Pendidikan dan Kemahiran Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Dr Andreas Schleicher dan Presiden International Publishers Association (IPA), Bodour Al Qasimi.

Sivabalan berkata, antara persoalan utama akan dibawa dalam forum tersebut ialah inovasi penerbitan buku teks yang sesuai dengan keperluan golongan sasar termasuk guru dan murid serta peralihan teks pendidikan ke arah platform digital.

“Jadi kita mahu belajar apakah kerangka kerja dan pemikiran digunakan penerbit berprofil tinggi antarabangsa serta pakar pendidikan dari negara maju ini terutamanya yang menunjukkan pencapaian dan trend positif dalam bidang pendidikan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Sivabalan berkata, antara penerbit luar yang akan turut serta dalam forum berkenaan ialah dari Estonia, Finland, Korea Selatan dan Singapura.

Dalam pada itu beliau berkata, turut dijemput pada acara berkenaan ialah wakil daripada guru dan pihak ibu bapa bagi membincangkan berkaitan akses dan kemudahan dalam pembelajaran menggunakan buku teks.

“Perbincangan terhadap isu tersebut sangat penting bagi membolehkan penerbit buku teks memainkan peranan dalam membantu meningkatkan tahap pencapaian pendidikan di Malaysia,” katanya.

Jelas beliau, program tersebut turut diharapkan dapat membawa kepada usaha mewujudkan ekosistem pendidikan sihat termasuk bagi pemegang taruh yang terlibat seperti penyedia pendidikan dan teknologi.