Kes SRC: Rayuan Najib esok

Najib
Najib
A
A
A

PUTRAJAYA - Rayuan akhir Datuk Seri Najib Razak untuk mengetepikan sabitan, hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik Syarikat SRC International Sdn Bhd, dijadualkan berlangsung di Mahkamah Persekutuan pada Isnin.

Prosiding selama sembilan hari bermula 15 hingga 26 Ogos ini, akan mungkin didengar oleh lima panel hakim tetapi senarai nama hakim belum didedahkan.

Mungkin juga Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat akan mengetuai barisan panel hakim bersama empat yang lain.

Mahkamah pada mulanya menetapkan prosiding berlangsung selama 10 hari, namun menukarkan kepada sembilan hari bermula 15 hingga 19 Ogos dan 23 hingga 26 Ogos.

Prosiding dijangka bermula dengan pendengaran usul oleh peguam yang mewakili Najib, untuk mengemukakan bukti baharu.

Jika usul itu ditolak, mahkamah kemudiannya akan mendengar rayuan Najib menerusi Hisyam Teh Poh Teik selaku peguam utama dan Liew Teck Huat serta M Rueben sebagai peguam bersama.

Difahamkan peguam akan mengemukakan permohonan secara lisan untuk menangguhkan prosiding rayuan utama selepas selesai hujahan dan keputusan mengenai bukti baharu itu kerana tidak bersedia untuk meneruskan rayuan.

Mereka pastinya memerlukan masa untuk membuat persediaan memandangkan baru sahaja dilantik oleh Ahli Parlimen Pekan itu, selepas bekas Perdana Menteri itu menghentikan perkhidmatan peguam asal, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan firma Tetuan Shafee & Co.

Lebih-lebih lagi kata mereka, prosiding ini membabitkan isu penting kerana ia bukan rayuan biasa.

Bagaimanapun, pada 28 Julai lalu Mahkamah Persekutuan menggambarkan bahawa, pendengaran rayuan kes akan berlangsung sebagai mana yang dijadualkan.

Mahkamah dengan jelas menegaskan, tiada penangguhan akan dibenarkan dan semua pihak dikehendaki mengambil langkah sewajarnya serta bersedia lebih awal.

Perkara itu didedahkan menerusi surat daripada Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan kepada firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) yang baharu dilantik Najib.

Namun timbul pula ura-ura, barisan peguam mahu menarik diri daripada mewakili Najib sekiranya mahkamah berkeras mahu meneruskan prosiding itu pada Isnin.

Bagaimanapun, lain pula yang berlaku, apabila peguam Datuk Zaid Ibrahim melalui kenyataan media, menafikan firma guaman ZIST memaklumkan perkara berkenaan kepada mahkamah dan menegaskan ia tidak akan ‘meninggalkan’ anak guam.

Sekiranya perkara itu benar-benar berlaku, ada tiga senario yang mungkin terjadi.

Pertama ialah Mahkamah Persekutuan boleh mengarahkan bekas Perdana Menteri itu mewakili diri sendiri tanpa bantuan peguam atau kedua, mahkamah menangguhkan prosiding bagi memberi peluang kepada peguam Najib untuk bersedia.

Senario ketiga juga mungkin berlaku apabila mahkamah mungkin menangguhkan rayuan sehingga Najib sekali lagi melantik peguam baharu buat kali ketiga.

Sementara itu, peguam Datuk Geethan Ram Vincent berkata, jika senario pertama berlaku, mahkamah boleh menyatakan kepada Najib bahawa beliau sudah diberikan peluang dan perlu meneruskan rayuan akhir sendiri.

Geethan yang juga peguam kepada isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes rasuah membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion berkata, perkara itu amat jarang berlaku.

Terutama katanya, prosiding kali ini adalah peluang terakhir untuk Ahli Parlimen Pekan itu, mempertahankan diri daripada sabitan, hukuman dan denda.

Selain itu beliau berkata, barisan peguam yang akan terlebih dahulu mendengar permohonan notis usul bagi mendapatkan perisytiharan bahawa perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi adalah batal dan tidak sah dan memohon mahkamah menimbangkan supaya perbicaraan semula diadakan.

Najib akan membuat permohonan itu dengan alasan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar dan menjatuhi hukuman terhadapnya, sengaja gagal mendedahkan peranannya dalam Maybank Investment melalui syarikat Bina Fikir Sdn Bhd dalam penubuhan SRC International.

Geethan berkata, kebarangkalian juga mungkin berlaku, jika peguam menarik diri, mahkamah akan memberikan tempoh singkat kepada perayu untuk mencari seorang peguam baharu yang berkelayakan dan sanggup untuk mewakilinya.

“Pada pendapat saya, lazimnya mahkamah akan memberikan peluang kepadanya (Najib) untuk mendapatkan seorang peguam baharu kerana ini adalah peluang terakhir beliau.

“Saya percaya, mana-mana peguam yang dilantik perlu diberi tempoh masa yang memadai untuk membuat persediaan.

“Perlu diingatkan perbicaraan kes ini membabitkan ramai saksi dan banyak dokumen berkaitan, maka perayu perlu diberi peluang untuk meneliti rekod rayuan secukupnya dan membuat persediaan sewajarnya,” katanya ketika dihubungi media.

Untuk rekod, SRC dahulunya merupakan anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) namun kini dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan).