[VIDEO] Muhammad Shafee bukan lagi peguam Najib

Muhammad Shafee (kanan) tidak lagi mewakili Najib (kiri) selepas bekas Perdana Menteri itu menghentikan perkhidmatan peguam itu dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Muhammad Shafee (kanan) tidak lagi mewakili Najib (kiri) selepas bekas Perdana Menteri itu menghentikan perkhidmatan peguam itu dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan peguam daripada firma Tetuan Shafee & Co tidak lagi mewakili Datuk Seri Najib Razak selepas bekas Perdana Menteri itu menghentikan perkhidmatan peguam itu dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Firma guaman Tetuan Shafee & Co memaklumkan perkara berkenaan menerusi surat Pemakluman Perberhentian Kaunsel dan Peguam Cara kepada pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan bertarikh pada Selasa.

Menerusi surat berkenaan, Tetuan Shafee & Co menyatakan bahawa firma guaman itu menerima surat daripada Najib pada jam 5 petang Isnin, memaklumkan Muhammad Shafee dan peguam cara lain diberhentikan perkhidmatan berkuat kuasa serta merta.

Menurut surat itu, Najib telah melantik Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) sebagai peguamcara baharu.

"Pihak kami sedang berusaha untuk melengkapkan proses penyerahan dokumen secara fizikal dan digital kepada ZIST.

"Kami jangka ia dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada hari ini,” katanya.

Untuk rekod, Muhammad Shafee dan Tetuan Shafee & Co dilantik untuk mewakili Najib selepas didakwa dalam kes SRC International di Mahkamah Sesyen di sini, pada Julai 2018.

Pada 21 Julai lalu, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Queen's Counsel (QC) atau Peguam Diraja dari United Kingdom, Jonathan Laidlaw untuk mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 25 Januari lalu, Najib melalui Muhammad Shafee dalam sepucuk surat dialamatkan kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara memohon supaya Najib dibenarkan untuk diwakili seorang QC iaitu peguam kanan paling senior dan berpengalaman dari United Kingdom.

Permohonan itu dibuat atas alasan QC mempunyai kepakaran untuk menasihati dan berpengalaman mengendalikan rayuan akhir Najib yang sangat kompleks dan membabitkan isu serta persoalan perundangan baharu bukan sahaja dalam bidang kuasa negara ini, malah di negara Komanwel.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi terhadap Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana. SRC International.

Sehari sebelum itu, mahkamah sama menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuannya berhubung pembabitan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang didakwa bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, bagi memudahkannya menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International.