Kes tahfiz: 'Saya perlu siasat dahulu' - Idris

Idris pada Majlis Sambutan Sedekad Hidayah Centre Foundation (HCF) di sebuah hotel pada Sabtu.
Idris pada Majlis Sambutan Sedekad Hidayah Centre Foundation (HCF) di sebuah hotel pada Sabtu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad memaklumkan bahawa pihaknya akan melakukan siasatan terlebih dahulu berhubung kejadian serangan di sebuah maahad tahfiz dekat Kuala Lipis yang tular di media sosial.

Ketika ditanya mengenai tindakan kerajaan dalam menangani isu tersebut, Idris berkata, beliau tidak dapat memberi sebarang komen sebelum melihat perkembangan mengenai kes berkenaan dahulu.

"Nanti, saya perlu 'check' (siasat) dahulu hal itu," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Sedekad Hidayah Centre Foundation (HCF) di sebuah hotel pada Sabtu.

Pada Jumaat, satu rakaman insiden beberapa pelajar tahfiz dipukul tular menerusi satu hantaran di Instagram.

Rakaman berdurasi pendek itu dimuat naik oleh pemilik akaun Instagram dikenali act431_775 yang menunjukkan seorang lelaki berpakaian separuh bogel telah berteriak memanggil pelajar berkenaan sebelum bertindak menampar, menendang dan memukul mereka bersama rakannya.

Pada Sabtu, media melaporkan polis menahan tiga suspek yang terbabit dalam kes serangan di sebuah pusat tahfiz berkenaan.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, sepasukan pegawai dan anggotanya membuat tiga serbuan berasingan di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, Terengganu serta Bandar Jengka, Pahang, bermula jam 1 pagi hingga 8 pagi.