Pukul ustaz: Polis tahan tiga lagi suspek

Superintendan Azli Mohd Noor
Superintendan Azli Mohd Noor
A
A
A

LIPIS - Polis menahan tiga lagi individu bagi membantu siasatan dalam kes serangan serta memukul tenaga pengajar dan pelajar di sebuah pusat tahfiz di Jalan Cheneras di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, seorang lelaki ditahan dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Kuala Nerus kira-kira jam 1 pagi dan kira-kira sejam kemudian, seorang suspek ditahan di tepi Jalan Sultan Ismail, Kuala Terengganu manakala suspek ketiga ditahan di sebuah rumah di Felda Lepar Utara 1, Jerantut kira-kira jam 8 pagi.

“Tangkapan dibuat berdasarkan maklumat diterima daripada dua suspek yang ditahan sebelum ini mengenai tiga suspek yang masih bebas," katanya dalam sidang akhbar di IPD Lipis, pada Sabtu.

Tambah Azli, ketiga-tiga suspek ditahan untuk proses dokumentasi bagi mendapatkan perintah reman.

“Ujian saringan awal ke atas ketiga-tiga suspek masing-masing berusia 30an itu mendapati positif dadah jenis heroin," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh kawasan.

Tambah beliau, ketiga-tiga suspek turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1957 atas kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan selain dikenal pasti mempunyai rekod jenayah lampau.

Dalam pada itu, Azli berkata, setakat ini beliau difahamkan pusat tahfiz berkenaan ditutup buat sementara waktu dan guru yang cedera telah pulang ke kampungnya di Negeri Sembilan.

“Saya mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan hendaklah mendapatkan maklumat sahih daripada pihak polis berkaitan perkara yang tular di laman sosial mengenai kes ini.

“Polis juga mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan perlu mendapatkan rujukan serta nasihat daripada polis sebelum membuat tindakan terutama melibatkan pelajar tahfiz di bawah umur yang dilindungi di bawah akta kanak-kanak dan sebagainya,” kata beliau.