Bank Rakyat sumbang bantuan persekolahan RM260,000

Noh (kanan) menyampaikan sumbangan zakat Bank Rakyat pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bank Rakyat Parlimen Tanjong Karang di SK Berjaya di sini pada Sabtu.
Noh (kanan) menyampaikan sumbangan zakat Bank Rakyat pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bank Rakyat Parlimen Tanjong Karang di SK Berjaya di sini pada Sabtu.
A
A
A

TANJONG KARANG - Bank Rakyat menyalurkan sumbangan zakat sebanyak RM260,000 kepada murid dan pelajar golongan asnaf Parlimen Tanjong Karang pada Sabtu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, seramai 2,000 penerima di 24 sekolah rendah dan menengah di Parlimen itu menerima manfaat sumbangan terbabit.

"Pemberian sumbangan itu membabitkan sebanyak 16 sekolah rendah dan lapan sekolah menengah Parlimen Tanjong Karang," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bank Rakyat Parlimen Tanjong Karang di Sekolah Kebangsaan (SK) Berjaya di sini pada Sabtu.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, pemilihan pelajar terdiri dalam kalangan ibu bapa asnaf itu ditentukan pihak sekolah.

Jelas beliau, pemilihan pelajar layak menerima sumbangan itu tidak mengira fahaman parti politik bagi mengurangkan beban ditanggung ibu bapa menyediakan kelengkapan sekolah dan asrama.

"Kita berharap sumbangan ini bukan untuk kegunaan harian, tetapi sebaliknya dimanfaatkan untuk membeli kelengkapan dan peralatan persekolahan anak-anak," katanya.

Jelas beliau, sumbangan daripada organisasi korporat merupakan satu inisiatif yang amat penting kerana ia mampu memberi impak kepada seluruh masyarakat Keluarga Malaysia dan negara dari segi kemakmuran sejagat.

"Penularan pandemik Covid-19 yang sehingga kini masih belum pulih sepenuhnya telah banyak memberi impak kepada masyarakat terutamanya mereka berpendapatan rendah," ujar beliau.

Bagaimanapun, katanya, pendidikan anak-anak perlu diberi tumpuan dan tidak boleh diabaikan demi masa depan.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Gambut, Azizah Ajis berkata, sumbangan itu memberi pengertian bermakna kepada ibu bapa murid di sekolah itu.

Jelas beliau, kebanyakan ibu bapa sekolah itu terdiri daripada golongan asnaf yang hanya bekerja kampung dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

"Seramai 100 murid di sekolah ini menerima sumbangan terbabit dan kita berharap ia dapat membantu mengurangkan beban ibu bapa membeli kelengkapan persekolahan," kata beliau.