Tangki air pecah: Empat pelajar masih trauma

Annuar (kiri) bertanyakan khabar pada empat pelajar SMK Melor yang menjadi mangsa tangki air pecah semasa melawat mereka di Kampung Tasik Sri Kulim pada Khamis.
Annuar (kiri) bertanyakan khabar pada empat pelajar SMK Melor yang menjadi mangsa tangki air pecah semasa melawat mereka di Kampung Tasik Sri Kulim pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Empat pelajar Tingkatan Dua yang cedera dalam insiden tangki air pecah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor, Ketereh di sini pada Selasa lalu mengakui masih lagi trauma untuk kembali ke sekolah bagi mengikuti sesi pembelajaran.

Pelajar terlibat, Nurul Syafiqah Ayuni Mohd Azhar, Ilham Nur Mariam Mohd Hassan, Dhia Insyirah Mohd Fakhrul Izwan dan Nuramira Shahira Mohd Adnan akan kembali ke sekolah pada Ahad ini.

Nurul Syafiqah Ayuni yang terseliuh tangan kanan berkata, ekoran kejadian itu dia dan rakan-rakan tidak dapat memberikan tumpuan kepada pembelajaran kerana kejadian tersebut masih lagi segar dalam ingatan.

"Agak sukar untuk melupakan kejadian itu, bagaimanapun doktor menasihatkan kami supaya tidak terlalu memikirkan insiden tersebut.

"Ia bertujuan mengelakkan kami mengalami trauma," katanya ketika ditemui di Kampung Tasik Sri Kulim, Melor di sini pada Khamis.

Sebelum itu keempat-empat pelajar tersebut menerima kunjungan Ahli Parlimen Ketereh merangkap Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Dalam kunjungan tersebut Annuar turut bertanyakan khabar serta menyampaikan sumbangan kepada empat pelajar terbabit.

Seorang lagi mangsa, Ilham Nur Mariam berkata, disebabkan terlalu takut, dia tidak dapat melihat tangki air.

"Setiap kali terpandang atau melihat tangki air, fikiran saya menjadi celaru memikirkan insiden ngeri itu.

Artikel Berkaitan:

"Semasa kejadian saya dihanyutkan oleh arus deras dari tangki sehingga kepala terhantuk pada pasu bunga," katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan beberapa pelajar SMK Melor, Ketereh di sini dipercayai mengalami kecederaan selepas tangki air di sekolah berkenaan pecah.

Kejadian itu dimaklumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menerusi satu hantaran Facebook yang dimuat naik selepas selesai sesi menjawab pertanyaan lisan di Dewan Negara.

Mohd Radzi berkata, tangki air yang pecah itu menimpa laluan pejalan kaki di sekolah berkenaan menyebabkan pelajarnya mengalami kecederaan.