Cadang tubuh War Room Kebersihan seluruh daerah di Pahang

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Abd Rahim Muda (dua dari kanan) bersama sebahagian pekerja pembersihan yang diraikan pada Program Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kemerdekaan dan Sambutan Hari Pekerja Pembersihan 2022 di Taman Gelora, pada Khamis.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Abd Rahim Muda (dua dari kanan) bersama sebahagian pekerja pembersihan yang diraikan pada Program Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kemerdekaan dan Sambutan Hari Pekerja Pembersihan 2022 di Taman Gelora, pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Penubuhan pasukan tindakan khas War Room Kebersihan dicadang diperluaskan ke daerah lain bagi menyelaras isu berkaitan kebersihan di Pahang.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Abd Rahim Muda berkata, War Room Kebersihan Kuantan yang diwujudkan sejak tahun 2019 boleh dijadikan model bagi melaksanakan inisiatif itu ke daerah lain.

Menurutnya, pasukan tindakan khas itu berkesan dalam menyelaras sebarang isu berkaitan kebersihan apabila setiap aduan berkaitan kebersihan dapat diambil tindakan segera secara sistematik dan berkesan.

"Pasukan ini terdiri daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi dan syarikat konsesi bertanggungjawab terhadap kerja-kerja pembersihan.

"Bagi War Room Kebersihan Kuantan, ia dilaksanakan secara bersama antara Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang.

"Agensi lain terlibat seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Alam Flora Sdn Bhd, Road Care Sdn Bhd dan YP Maintenance," katanya ketika ditemui selepas Program Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kemerdekaan dan Sambutan Hari Pekerja Pembersihan 2022 di Taman Gelora, pada Khamis.

Abdul Rahim berkata, setiap aduan berkaitan kebersihan diterima daripada orang ramai akan dikongsi melalui kumpulan Whatsapp War Room itu untuk tindakan segera agensi bertanggungjawab

berdasarkan bidang tugas dan kawasan selian masing-masing.

"Setiap aduan diterima akan dimaklumkan untuk tindakan agensi terlibat dengan segera sekali gus dapat mengelak tindakan bertindih," katanya.

Mnurutnya, penubuhan War Room itu antara inisiatif MBK dan SWCorp merealisasikan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Bandaraya Kuantan sebuah bandar bersih, indah dan sejahtera didiami.

Katanya, pelbagai program dijalankan di setiap daerah di Pahang bagi mengalakkan amalan menjaga kebersihan alam sekitar dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, antara program dijalankan termasuk Program Plogging dan Program Trash To Cash.

"Sehingga 5 Ogos lalu, lebih 24 tan sampah berjaya dikutip melalui Program Plogging dan 64.3 tan barang kitar semula bernilai lebih RM85,000 dikumpul melalui Program Trash To Cash di seluruh Pahang," katanya.